UPM anjur program 'Program Pelita Generasi Prihatin' dedah ilmu pertanian kepada anak-anak yatim dan asnaf | DagangNews Skip to main content

UPM anjur program 'Program Pelita Generasi Prihatin' dedah ilmu pertanian kepada anak-anak yatim dan asnaf

Mahasiswa UPM memberi penerangan mengenai pertanian kepada anak-anak yatim dan asnaf di Banting, Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Pelajar Bakti Siswa Kumpulan 16 Sesi 2023/2024 melalui Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Pelita Generasi Prihatin di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As Solihin, Banting, Selangor, baru-baru ini.

 

Antara aktiviti 'Celik Pertanian' dijalankan, termasuk semaian biji benih, penanaman anak pokok, mini hidroponik, membuat racun organik menggunakan bahan di dapur dan melukis serta mewarna. 

 

Aktiviti bermula dengan taklimat ringkas mengenai teknik penanaman dan kepentingan menjaga alam sekitar. Setiap anak-anak yatim diberikan peluang untuk mewarna dan menanam anak pokok yang dipilih. 

 

Sambil menanam dan menyemai biji benih, mereka diberi pemahaman asas tentang tanggungjawab mereka terhadap alam semula jadi. 

 

Selain daripada aktiviti tanaman, anak-anak yatim juga menunjukkan kreativiti dan nilai seni hasil daripada aktiviti mewarna dan melukis di botol masing-masing. Botol yang diwarnakan itu akan dimasukan anak pokok yang dikenali sebagai mini hidroponik.

 

Pengarah program tersebut, Arif Omar berkata, pihaknya ingin melibatkan kanak-kanak dalam proses itu supaya dapat memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga alam sekitar. 

 

 

upm

 

 

"Penanaman tumbuhan bukan sahaja menyumbang kepada kepelbagaian flora, tetapi juga mengajarkan nilai-nilai seperti kesabaran dan tanggungjawab," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Arif, keberhasilan inisiatif itu tidak hanya dilihat pada tanaman yang bertumbuh dengan baik, tetapi juga pada senyuman dan kegembiraan yang ditanamkan dalam hati setiap anak yatim. 

 

 

UPM

 

 

"Melalui kesungguhan dan keceriaan, program itu bukan sekadar mencipta kebahagiaan sementara, tetapi juga menebarkan sinar kebaikan yang akan terus bersinar dalam perjalanan hidup mereka.

 

 

upm

 

 

"Dengan melihat program ini dari perspektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke – 1, 2 dan 4, kita dapat melihat bagaimana melibatkan komuniti terutamanya kanak-kanak yatim, dalam aktiviti seperti penanaman dapat menyumbang kepada pelbagai matlamat pembangunan lestari yang lebih besar," katanya. - DagangNews.com