UPM bangunkan program 3U1i untuk pacu sektor pertanian lebih berdaya saing | DagangNews Skip to main content

UPM bangunkan program 3U1i untuk pacu sektor pertanian lebih berdaya saing

Gambar Facebook Fakulti Pertanian UPM

KUALA LUMPUR 7 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya membangunkan program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar (3U1i) di bawah kendalian Fakulti Pertanian universiti itu.

 

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pertanian, Prof Madya Dr Juwaidah Sharifuddin berkata, program itu ditawarkan seiring dengan Dasar Agromakanan Negara dalam memacu sektor pertanian ke arah yang lebih berdaya saing. 

 

“Dengan itu, terdapat keperluan untuk melahirkan tenaga buruh atau pekerja mahir yang menggunakan teknologi yang diaplikasikan dalam sektor pertanian di Malaysia serta di luar negara.

 

"Program itu menyasar untuk melahirkan teknologis pertanian yang berpengetahuan dan kompeten untuk mengendalikan teknologi pertanian pintar lestari yang boleh membangun dan menguruskan pengeluaran pertanian berasaskan sistem pertanian pintar.

 

"Ia juga bagi mengamalkan peningkatan ilmu pengetahuan melalui pembelajaran berterusan dalam bidang pertanian pintar selaras dengan perkembangan semasa sektor pertanian dan mampu menyampaikan ilmu pengetahuan kepada komuniti teknologis berkaitan sistem pertanian pintar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Juwaidah berkata, program itu ditawarkan secara sepenuh masa selama 4 tahun dalam dua mod iaitu mod kerja kursus dan mod industri (3U1i), contohnya bekerja di Ladang Guhtrie.

 

“Bagi mod industri pelajar akan berada di universiti selama 3 tahun dan 1 tahun di industri,” katanya.

 

 

upm
Prof Madya Dr Juwaidah Sharifuddin

 

 

Terdahulu, seramai 20 pelajar terpilih untuk menyambung dalam program 3U1i yang baharu diperkenalkan pertama kali oleh Fakulti Pertanian kepada pelajar sesi 2022/2023.

 

Seorang pelajar terpilih, Ayu Shuhada Ahmad Hilmey berkata, bidang pertanian adalah antara bidang utama bagi semua negara terutama untuk bekalan makanan serta peluang perkerjaan.

 

 

upm
Ayu Shuhada Ahmad Hilmey

 

 

“Jadi memandangkan jangkaan krisis sekuriti makanan pernah dibangkitkan dan kita dapat lihat usaha untuk bidang pertanian ini sentiasa relevan dan membekalkan ilmu pertanian moden kepada generasi muda,” katanya.

 

 

upm
Albert Brassington Anak Gurkha

 

 

Pelajar berasal dari Sarawak, Albert Brassington Anak Gurkha, 21, berpendapat, program itu dapat membantunya memahami dengan lebih mendalam berkenaan teknologi pertanian.

 

“Saya meminati kos pertanian kerana ahli keluarga juga mencari rezeki dalam bidang pertanian. Bidang pertanian sudah menjadi darah daging sejak kecil lagi," katanya. - DagangNews.com