UPM bimbing warga emas mengenai pertanian hidroponik, tanaman hiasan  | DagangNews Skip to main content

UPM bimbing warga emas mengenai pertanian hidroponik, tanaman hiasan 

Pelajar UPM membantu salah seorang warga emas melaksanakan aktiviti penanaman pada program Cakna Warga Emas: Dari Putra ke Bonda di Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Cakna Warga Emas: Dari Putra ke Bonda untuk berkongsi ilmu bidang pertanian hidroponik dan tanaman hiasan di Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

 

Ketua projek, Prof Madya Dr Ahmad Faizal Abdull Razis berkata, program itu dianjurkan untuk membantu warga emas di pusat jagaan tersebut melaksanakan aktiviti penanaman melalui kaedah betul dan juga mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah serta bermanfaat.

 

"Mereka mendapat ilmu dan tunjuk ajar secara terus tentang kaedah penanaman pokok yang bersesuaian dengan persekitaran kawasan yang mereka diami.

 

"Di samping itu, aktiviti yang dianjurkan bersama warga emas ini dapat memupuk mereka untuk menanam dan menjaga kesihatan sambil memenuhi masa lapang bersama-sama rakan di pusat jagaan ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada program itu, seramai 35 pelajar Bacelor Sains Hortikultur Fakulti Pertanian, 6 ahli jawatankuasa induk ITAFoS serta 25 peserta dari pusat jagaan berkenaan terlibat menyertai program itu.

 

Ahmad Faizal berkata, pelaksanaan program tersebut turut memberi impak positif dalam kalangan warga emas pusat jagaan terbabit tentang kepentingan pertanian dan tanaman holtikultur.

 

Katanya, bukan hanya warga emas yang mendapat ilmu malah para pelajar yang menyertai program itu turut dapat berkongsi ilmu pertanian dengan melakukan demonstrasi.

 

 

UPM

 

 

"Hal ini juga menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar serta membuka peluang kepada mereka untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat pada peringkat umur yang berbeza di dalam komuniti setempat," ujarnya.

 

 

UPM

 

 

Program tersebut merupakan salah satu projek di bawah geran 'Knowledge Transfer Grant Scheme at PTJ (KTGS@PTJ)' bermula dari Februari 2023 hingga April 2024 yang bertujuan untuk memindahkan kepakaran universiti dan memberi manfaat kepada komuniti. - DagangNews.com