UPM martabat penyajak sempena program Semarak Hari Malaysia 2023 | DagangNews Skip to main content

UPM martabat penyajak sempena program Semarak Hari Malaysia 2023

Seramai 14 penyajak mengambil bahagian dalam menghasilkan penulisan sajak yang mengangkat tema Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Sept - Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) memartabat penyajak dalam kalangan kakitangan Pejabat TNCPI, Putra Science Park (PSP) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UPM melalui Pertandingan Menulis Sajak Kemerdekaan 2023 sempena Program Sambutan Semarak Hari Malaysia 2023.

 

Seorang pegawai eksekutif dari PSP, Wan Nuryani Wan Mohamed Rosly muncul sebagai juara pertandingan tersebut dengan sajak Merdeka Sampai Awan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan buku Antologi Puisi Retak Pertujuh Kebun Puisi. 

 

Manakala, naib juara disandang oleh Wan Mohd Hafiz Wan Baharuddin dari pejabat TNCPI dengan sajak Harapan. Tempat ketiga dianugerahkan kepada Muhammad Rahimi Deraman dari PSP melalui sajak Perpaduan Kekitaan Buat Watan.

 

Pertandingan ini  merupakan anjuran KSK Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM dengan kerjasama Sudut Bacaan Lantera Ilmu Putra Science Park yang diadakan di Putra Science Park, baru-baru ini.

 

Selain itu, tiga anugerah khas iaitu Anugerah Pemuisi Harapan dirangkul oleh Nor Azizah Ismail dengan sajak bertajuk Langit Biru Tanah Merdeka, Anugerah Pemuisi Patriotik dimenangi Mohammad Hisham Omar dengan sajaknya Merdeka? dan Anugerah Pemuisi Terunik disandang Noor Fadilah Ayu Wichi dengan tajuk sajak Ibu - Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

 

Pertandingan diadili oleh kakitangan staf Pusat RMC UPM, Zainal Abdul Kadir, yang merupakan penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2019 manakala Pegawai Penyelidik PSP, Asrizam Esam merupakan juri bagi Anugerah Khas. 

 

Menurut Presiden KSK, Mohammad Hisham Omar, sambutan Semarak Hari Malaysia KSK diraikan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan dan memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963. 

 

"Pada tahun ini, slogan "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan" diangkat menjadi tema Hari Malaysia 2023 yang bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama. 

 

"Pelbagai aktiviti dijalankan bagi meningkatkan semangat Malaysia di antaranya nyanyian lagu-lagu patriotik, kuiz fakta Malaysia, persembahan deklamasi sajak dan muzik serta pelbagai lagi," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Asrizam pula berkata, gabungan penulis berpengalaman dan pemula juga memeriahkan lagi sayembara kali ini. 

 

"Seni penulis pemula masih boleh diasah lagi, bertatih dan berlatihlah menulis, barulah kesempurnaan atas kepuasan diri akan dapat dikecapi. Moga puisi-puisi yang malar segar akan terus dapat dihasilkan lagi dan tidak hanya terhenti disini," katanya.

 

Program ini diadakan bagi mencungkil bakat penulisan sastera dalam kalangan kakitangan pejabat TNCPI, yang mana seramai 14 penyajak mengambil bahagian dalam menghasilkan penulisan sajak yang mengangkat tema Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. 

 

Majlis tersebut berlangsung dengan penerapan bahasa sastera dan diserikan dengan acara deklamasi sajak pemenang oleh Duta Lantera Ilmu, Miza Aina Zairul Anuar dan persembahan duo deklamasi sajak Hidup Bersama, A. Samad Said yang disampaikan oleh Mohd Rusdy Hasan diiringi gesekan biola Rahimi Deraman. - DagangNews.com