UPM tanam 200 pokok bagi bantu usaha pulihara alam sekitar | DagangNews Skip to main content

UPM tanam 200 pokok bagi bantu usaha pulihara alam sekitar

Para peserta bergambar selepas program ‘Exploration Planting Tomorrow Program 2023’ di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Program ‘Exploration Planting Tomorrow Program 2023’ berjaya menanam 200 batang pokok hutan di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC)  bagi menekankan kepentingan konservasi alam sekitar dan kelestarian hutan sebagai nadi masa hadapan.

 

Pengarah program, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, program ke arah masa hadapan yang lebih hijau dan lestari ini secara tidak langsung menyokong Agenda Nasional Negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025. 

 

Katanya, keperluan mengambil bahagian dalam pemuliharaan alam sekitar perlu dipergiat bermula hari ini bagi memupuk masyarakat yang cintakan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat masa hadapan.   

 

"Sebanyak tujuh jenis pokok hutan telah ditanam di sini iaitu Merbau, Meranti Melantai, Kempas, Rambai, Jentik-Jentik, Kelat (Syzygium dyerianum) dan Sentul (Sandoricum Beccarianum) bermula 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

 

"Pemilihan jenis anak-anak pokok hutan yang ditanam di sini adalah mengikut kesesuaian dan keupayaan pokok untuk memegang struktur tanah, serapan air dan saiz pokok apabila dewasa kelak," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Inisiatif penanaman pokok hutan ini merupakan kerjasama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Petronas Carigali Sdn Bhd sebagai tindakan langkah ke hadapan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta memupuk kesedaran dalam kalangan para peserta mengenai pentingnya kepelbagaian biologi.

 

 

upm
Kanak-kanak cilik turut membantu aktiviti menanam pokok bagi memupuk kesedaran dan kepentingan kepelbagaian biologi.

 

 

Jelasnya, peluang ini perlu dibanggakan dalam usaha sama untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG3 (kesihatan dan kesejahteraan) SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), SDG13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).  - DagangNews.com