UPM universiti awam tertinggi capai 99.4% kebolehpasaran graduan pada 2022 | DagangNews Skip to main content

UPM universiti awam tertinggi capai 99.4% kebolehpasaran graduan pada 2022

Sebanyak 73.7% graduan UPM pada 2022 telah bekerja dan daripada itu sebanyak 13.7% pula direkodkan menerima gaji sebanyak RM3,000 dan ke atas. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencapai sebanyak 99.4% kadar kebolehpasaran graduan melalui kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan.

 

Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4% berbanding 95.4% pada 2021 melepasi sasaran 95% pada 2022 serta sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu 85.4% sekali gus menjadikan UPM antara tertinggi dalam kalangan universiti awam pada 2022. 

 

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, kajian tersebut memberikan petunjuk lebih daripada separuh graduan UPM pada 2022 bekerja dalam bidang yang dipelajari termasuk 12% bekerja dalam sektor pertanian, perladangan, perikanan, perhutanan dan industri makanan.

 

"Sebanyak 73.7% graduan UPM pada 2022 telah bekerja dan daripada itu sebanyak 13.7% pula direkodkan menerima gaji premium RM3,000 dan ke atas. 

 

"Pencapaian ini merupakan hasil usaha universiti untuk merealisasikan Pelan Strategik UPM iaitu menambah nilai dan meningkatkan keberkesanan program akademik sepadan dengan keperluan semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Roslan, kajian yang dikeluarkan oleh KPT itu membuktikan bahawa semua program pengajian yang ditawarkan UPM masih relevan dan memenuhi kehendak industri.

 

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 10 program pengajian mempunyai status graduan bekerja tertinggi, antaranya, Bacelor Komunikasi dan Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Bacelor Perakaunan, Bacelor Ekonomi dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE).

 

 

upm
                               Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman

 

 

"Ia juga termasuk, Doktor Perubatan Veterinar melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Bacelor Sains Pembangunan Manusia Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Bacelor Sains Pertanian Fakulti Pertanian (FP) Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian Fakulti Sains (FS) dan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP)" katanya. 

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Prof Madya Dr Mass Hareeza Ali @ Hamid berkata, pencapaian ini adalah hasil daripada komitmen tinggi dan usaha pelbagai pihak dalam menggerakkan pelbagai program.

 

Katanya, program berkenaan berbentuk peningkatan kerjaya seperti penganjuran Program Karnival Kerjaya & Keusahawanan, Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan seperti Penjana KPT-CAP, KPT-PACE, dan banyak lagi. 

 

"UPM juga menggalakkan pelajar belajar sambil bekerja melalui Pelantar UPM Hire (Program Khidmat Pelajar) yang dibangunkan oleh CEM yang menawarkan perkhidmatan kerja sambilan.

 

"Ia bukan sahaja bertujuan untuk membantu menambah duit poket pelajar tetapi mendedahkan pelajar kemahiran insaniah seperti keusahawanan bagi memudahkan mereka memburu atau mencipta pekerjaan selepas bergraduat," katanya.

 

Tambah beliau, sebanyak 4.5% graduan UPM meneruskan kerjaya sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian.

 

Terdahulu, UPM telah menerima Anugerah Majikan Pilihan Graduan (GCA) 2023 dan Universiti Pilihan Majikan dalam sektor universiti awam melalui kaji selidik yang dijalankan agensi Talentbank. - DagangNews.com