Urus niaga jual beli tanah di Kulai cecah RM1.8 bilion sejak Jan 2023, penubuhan JS SEZ jadi pemangkin - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Urus niaga jual beli tanah di Kulai cecah RM1.8 bilion sejak Jan 2023, penubuhan JS SEZ jadi pemangkin - Maybank IB

Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Julai - Jual beli tanah di daerah Kulai, Johor - lokasi di mana terletaknya pusat data YTL dan Taman Teknologi Sedenak merekodkan urus niaga sebanyak RM1.8 bilion sejak Januari 2023.

 

Maybank Investent Bank (Maybank IB) berkata, urus niaga berkenaan kebanyakannya membabitkan tanah pertanian/perladangan dengan harga sekurang-kurangnya RM8.50 satu kaki persegi atau RM915,000 sehektar.

 

Kata firma penyelidikan itu, daerah Kulai dilihat menjadi tumpuan perniagaan susulan rancangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

 

"Lebih banyak pemaju hartanah dilihat membeli tanah pertanian di Kulai dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang secara kolektif membeli lebih 809 hektar tanah.

 

"Sepanjang 18 bulan yang lalu, kami menyaksikan enam urus niaga utama di Kulai bernilai RM1.8 bilion. 

 

"Pembelian tanah seluas 49.8 hektar oleh Microsoft daripada Eco World Development Group Bhd (ECW) dengan harga RM75 sekaki persegi adalah urus niaga yang paling banyak diperkatakan di Kulai," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB percaya mungkin terdapat lebih banyak minat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada masa depan, menjelang butiran lanjut JS-SEZ yang akan dimuktamadkan pada September.

 

"Di samping permintaan meningkat untuk pusat data dan pembangunan hartanah, sebahagian tanah di Kulai ini mungkin menarik untuk projek Solar Berskala Besar (LSS), yang menyasarkan penjualan elektrik rentas sempadan ke Singapura atau Akses Pihak Ketiga (TPA) dan pembangunan taman perindustrian hijau," jelasnya.

 

Kata Maybank IB, hampir 20 tahun sejak pembentukan Iskandar Malaysia, minat pembangunan kini telah menjurus ke arah wilayah utara Johor sekarang.

 

Menurutnya, walaupun UEM Sunrise pernah menjadi pemilik tanah terbesar di Iskandar, SD Guthrie, KL Kepong, Johor Plantation Group dan GENP kini berada di empat tempat teratas.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 90% firma Singapura sangat berminat melabur di Johor, kata persekutuan perniagaan

 

"Antara syarikat perladangan, SD Guthrie ialah pemilik tanah terbesar di Kulai dengan keluasan 5,190 hektar (bernilai c.RM4.5 bilion) manakala 2,536 hektar GENP adalah yang paling bernilai pada asas kaki persegi (bernilai c.RM3.5 bilion). 

 

"Walaupun butiran belum selesai, JS-SEZ mungkin memangkinkan minat dalam Kulai. SD Guthrie adalah pilihan pilihan kami," ujarnya.

 

Menurut firma itu, daerah Kulai secara umumnya dibahagikan kepada dua oleh Lebuhraya PLUS (PLUS) menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

 

Katanya, tanah yang terletak di timur laut PLUS lebih banyak diduduki dengan infrastruktur yang lebih baik, malah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Johor Premium Outlets terletak di situ.

 

"Tanah yang terletak di barat daya PLUS pada umumnya kurang membangun tetapi menjadi lokasi bagi Taman Teknologi Sedenak (dahulunya dikenali sebagai Kidex) dan Pusat Data Hijau YTL.

 

"Oleh itu, adalah tidak mengejutkan bahawa harga transaksi tanah di NE PLUS adalah lebih tinggi berbanding di barat daya PLUS," jelasnya. - DagangNews.com