Usaha Genting Plantations dalam R&D miliki masa depan mampan bagi jangka panjang – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Usaha Genting Plantations dalam R&D miliki masa depan mampan bagi jangka panjang – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept - Cabang penyelidikan dan pembangunan (R&D) Genting Plantations Bhd berada di landasan untuk menyediakan masa depan mampan bagi jangka panjang dengan hasil benih dipertingkatkan dan rumusan pengurusan agro.

 

Susulan lawatan ke cabang tersebut baru-baru ini, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata kumpulan itu menyasarkan untuk menyediakan benih genomik GT-9 berhasil tinggi ke pasaran tahun depan sebaik sahaja ia meningkatkan kapasiti pengeluaran benih kepada 5 juta tan setahun (tpa) daripada 1 juta tpa pada masa ini.

 

“GT-9 berpotensi untuk menyampaikan lebih 30 tan buah tandan segar (BTS) setiap hektar apabila mencapai kematangan utama (purata hasil BTS Genting Plantations antara 2018-2022: 17.7 tan setiap hektar).

 

“Selain anak benih kelapa sawit, pasukan R&D kumpulan juga berminat untuk mengkaji dan mengembangkan tanaman kontan lain seperti jagung, padi, tembikai dan sayur-sayuran dalam menangani keterjaminan makanan negara,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan namun menaik taraf saranan kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.08 sesaham kerana kelemahan harga saham baru-baru ini adalah peluang belian dengan jumlah pulangan meningkat sebanyak 17%.

 

Firma itu berkata kemudahan R&D kumpulan itu di Estet Genting Sepang yang berukuran sekitar 431.8 hektar akan menentukan dan membentuk masa depan jangka panjangnya.

 

“Walaupun memulakan penjujukan genom pada kelapa sawit sejak 2006, kami difahamkan Genting Plantations hanya menerima lesen pengeluaran benihnya daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 2019 (disebabkan keperluan ketat MPOB untuk menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh tahun pengumpulan data dan rekod),” jelasnya.

 

Di samping itu, Maybank IB berkata secara operasi, kumpulan tersebut menunjukkan tanda-tanda jelas pemulihan pengeluaran yang stabil.

 

Menurutnya, pengeluaran Ogos 2023 kumpulan itu mencecah paras tertinggi 33 bulan pada 0.19 tan metrik mendorong pengeluaran BTS dalam tempoh lapan bulan kepada 1.34 tan metrik, naik 5.3% tahun ke tahun (YoY) dan bagi separuh pertama tahun ini meningkat 2.6% YoY.

 

Ini meletakkannya di landasan untuk memenuhi sasaran pertumbuhan Genting Plantations sebanyak 5% YoY untuk tahun kewangan 2023 (FY23) (Maybank IB unjur 5% YoY).

 

Pada pukul 10:14 pagi ini, saham Genting Plantations telah menokok 14 sen atau 2.6% kepada RM5.50 dengan permodalan pasaran sebanyak RM4.9 bilion.  - DagangNews.com