USIM tingkatkan kemahiran belia B40, Orang Asli melalui program keusahawanan digital pelancongan di Negeri Sembilan | DagangNews Skip to main content

USIM tingkatkan kemahiran belia B40, Orang Asli melalui program keusahawanan digital pelancongan di Negeri Sembilan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Universiti Sains islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan menganjurkan 'Program Latihan Modul I-Skilled Keusahawanan Pelancongan Digital Produk Pelancongan Berasaskan Komuniti' bagi golongan belia B40 Dan Orang Asli Negeri Sembilan, baru-baru ini.

 

USIM berkata, program anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau itu bertujuan melahirkan usahawan dan komuniti profesional dalam kalangan golongan belia B40 dan Orang Asli dalam industri pelancongan.

 

Katanya, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan pusat keusahawanan universiti.

 

"Dianggarkan seramai 50 peserta terdiri daripada kalangan belia B40 dan masyarakat Orang Asli sekitar Negeri Sembilan akan diberi pendedahan secara teori dan praktis serta dilatih untuk menguruskan perniagaan dengan kemahiran keusahawanan pelancongan digital yang diberikan.

 

"Di samping itu, program ini sebagai salah satu cara untuk membentuk keperibadian diri sebagai usahawan pelancongan komuniti yang beretika dan berintegriti tinggi, selain menaik taraf kehidupan keluarga dan generasinya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, program tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim dan Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof Dr Yamin Yasin.

 

 

usim

 

 

usim

 

 

Menurut USIM, penganjuran program itu juga memberi ruang kepada peserta untuk memiliki sijil kompetensi sebagai usahawan dan pekerja yang telah mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas mengenai kerjaya di dalam industri inap desa dan pelancongan berasaskan komuniti.

 

 

usim

 

 

usim

 

 

Katanya, program itu diharap dapat memberi impak positif kepada peserta, masyarakat setempat, dan industri pelancongan secara keseluruhannya. - DagangNews.com