Usul membahas ordinan darurat di Parlimen dijadual September ini - PM | DagangNews Skip to main content

Usul membahas ordinan darurat di Parlimen dijadual September ini - PM

PUTRAJAYA 3 Ogos - Selaras dengan titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2021.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usul ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok dan diharap dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan.

 

Menurut beliau, proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.

 

Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit. - DagangNews.com