Velesto diunjur catat keputusan kewangan lebih baik didorong peningkatan kadar sewa harian pelantar penggerudian | DagangNews Skip to main content

Velesto diunjur catat keputusan kewangan lebih baik didorong peningkatan kadar sewa harian pelantar penggerudian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Velesto Energy Bhd diunjur mencatatkan keputusan lebih baik pada suku tahun akan datang didorong jangkaan peningkatan kadar sewa harian (DCR) pelantar penggerudiannya.

 

BIMB Securities berkata, kumpulan itu mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM46.8 juta pada suku pertama hasil peningkatan DCR sebanyak 8% dari suku tahun ke suku tahun kepada AS$107,000 (RM499,251) sehari.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan kadar baharu itu diluluskan Petronas bagi pelantar jack-up Naga 2, Naga 3, Naga 4 dan Naga 6 berkuat kuasa Februari 2024.

 

Bagaimanapun, kadar untuk DCR Naga 8 yang berfungsi untuk Carigali Hess bermula pada April 2024.

 

"Secara keseluruhannya, ia akan mendorong purata DCR meningkat lebih tinggi pada suku akan datang dengan DCR mungkin mencapai harga tertinggi pada suku ketiga tahun ini.

 

"Kami mengira purata andaian DCR sebanyak AS$125,000 (RM583,237) sehari dalam anggaran pendapatan FY24," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

BIMB Securities berkata, keadaan pasaran pelantar sangat sengit dengan kadar penggunaan melebihi 90% sejak suku keempat 2023 dan jumlah itu meningkat kepada 94% pada April 2024.

 

Katanya, keadaan itu berlaku walaupun terdapat peningkatan dalam bilangan bekalan meningkat kepada 438 pelantar (Oktober 2023: 421 pelantar) manakala bilangan pelantar yang dikontrakkan ialah 410 pelantar (Oktober 2023: 392 pelantar).

 

Walaupun penggantungan pelantar yang dibuat oleh Saudi Aramco akan mengeluarkan beberapa bekalan ke pasaran, kadar penggunaan dijangka kekal sangat sihat pada 88% menjelang akhir 2025.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 34 sen sesaham dan percaya pasaran akan menilai semula saham itu berdasarkan keterlihatan pendapatan lebih kukuh kesan kekurangan pelantar di luar pesisir," katanya. - DagangNews.com