Versa catat deposit RM10 juta dalam tempoh 3 bulan | DagangNews Skip to main content

Versa catat deposit RM10 juta dalam tempoh 3 bulan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April  – Platform pengurusan wang tunai digital di Malaysia, Versa berjaya mencatatkan jumlah deposit melebihi RM10 juta hanya dalam tempoh tiga bulan sejak pelancarannya pada Januari lalu.

 

Pada masa kini, Versa telah merekodkan lebih daripada 4,000 pendaftaran akaun dengan purata jumlah deposit RM2,700 bagi setiap pengguna.

 

Bagi Versa, situasi semasa menunjukkan kadar faedah rendah telah meningkatkan permintaan pelanggan untuk penyelesaian yang lebih baik bagi keperluan kewangan mereka.

 

Jelas platform itu, kadar faedah yang rendah dan kekangan melakukan deposit dan pengeluaran wang telah menyukarkan ramai untuk memberi komitmen terhadap deposit tetap.

 

“Halangan lain termasuklah tempoh masa terkunci yang panjang deposit permulaan yang tinggi dan risiko yang tinggi dalam pelaburan. Faktor-faktor tersebut telah mendorong pengguna untuk mencari alternatif bagi memenuhi keperluan kewangan masing-masing.

 

“Melihat akan situasi ini, Versa menyasarkan untuk mengatasi kesulitan yang dihadapi pelanggan dalam usaha mereka membuat simpanan,” jelas Versa dalam kenyataannya.

 

Dengan deposit permulaan serendah RM1, pelabur dapat memperoleh faedah harian hingga 2.4% setahun.

 

Berbeza daripada deposit tetap, pelabur mempunyai piilihan untuk mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa.

 

Tambahan itu, Versa tidak mengenakan sebarang caj jualan, yuran pindahan mahupun penamatan.

 

Bagaimanapun, berdasarkan kaji selidik Versa, platform itu mendapati penggunaan aplikasi penyelesaian kewangan digital dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

 

Daripada 3,000 responden, hanya 6% menggunakan aplikasi pelaburan dan simpanan digital manakala lebih daripada 30% langsung tidak menggunakan aplikasi kewangan digital

 

Ketua Pegawai Eksekutif Versa, Teoh Wei-Xiang menjelaskan bahawa idea Versa tercipta daripada kesedaran terhadap kepentingan mempunyai dana kecemasan.

 

Teoh Wei-Xiang
Teoh Wei-Xiang

 

“Versa ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah peribadi berikut - saya terpaksa mengeluarkan deposit tetap beberapa kali apabila menghadapi situasi kecemasan. Sejajar dengan itu, kami mempromosikan cara baharu untuk pengguna menguruskan simpanan wang tunai mereka.

 

"Hal ini kerana, berdepan dengan situasi yang tidak diduga, kemampuan untuk melabur dan mempunyai dana kecemasan adalah sangat penting," katanya menerusi kenyataan sama. - DagangNews.com