Volkswagen perkenal Golf GTI versi dipertingkat berharga RM252,900 di pasaran Malaysia | DagangNews Skip to main content

Volkswagen perkenal Golf GTI versi dipertingkat berharga RM252,900 di pasaran Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf GTI yang dinaik taraf, dilengkapi dengan sistem audio Harman Kardon dan paparan head-up display (HUD), yang kini ditawarkan pada harga RM252,990.

 

Sistem audio premium Harman Kardon 480-watt meningkatkan lagi ambien dalaman GTI dengan 10 unit pembesar suara. Ia mampu memberikan pengalaman bunyi keliling yang mengasyikkan dan akustik mengagumkan. 

 

Menggabungkan aspek keselamatan dan kepekaan pintar, paparan HUD memaparkan pelbagai maklumat penting pada ruang pandangan pemandu pada cermin utama. 

 

Maklumat-maklumat penting seperti kelajuan, navigasi dan sistem amaran memastikan pemandu sentiasa peka dan melihat informasi tersebut tanpa perlu mengalihkan mata mereka daripada jalan raya di hadapan.  

 

Golf GTI ialah sebuah ikon yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia merupakan sebuah kenderaan yang menawarkan prestasi penuh kuasa dan meningkatkan pengalaman pemanduan. 

 

Jentera itu dijana enjin 2.0TSI turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm yang dipadankan bersama kotak gear 7 kelajuan klac basah DSG. 

 

Hot hatch itu amat mudah dikenali dengan adanya gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan GTI berwarna merah yang menjadi signatur rekaannya. Penampilan itu dilengkapkan dengan rim aloi Richmond bersaiz 18” yang sporty, angkup brek berwarna merah, serta lampu utama dan belakang LED sepenuhnya. 

 

 

golf

 

 

Hot hatch itu disempurnakan dengan IQ. Drive yang merupakan satu sistem bantuan pemandu (Driver Assistance System, DAS) inovatif yang berfungsi membantu membuatkan perjalanan lebih selamat dan selesa. 

 

IQ. Drive terdiri daripada sistem Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) yang menggunakan radar dan pelbagai alat pengesan untuk mengesan kenderaan di hadapan. 

 

Ciri Side Assist bertindak sebagai pemantau titik buta aktif, manakala Rear Cross Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu jika wujud bahaya apabila gear undur diaktifkan. 

 

 

golf

 

 

Front Assist iaitu satu ciri Brek Kecemasan Automatik (AEB) yang menggunakan alat pengesan radar yang diintegrasikan pada bahagian hadapan GTI untuk sentiasa memantau jarak kenderaan di hadapan. Ia juga berupaya mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan. 

 

Ciri Lane Assist menggunakan sistem berasaskan kamera yang membantu pemandu kekal dalam lorong betul. 

 

 

golf

 

 

Sekiranya kenderaan masuk ke lorong lain tanpa pengantifkan lampu isyarat membelok, sistem ini berfungsi untuk menarik stereng kembali ke lorong asal secara automatik. Sebagai tambahan, fungsi Adaptive Lane Guidance memastikan kereta kekal dalam lorongnya berdasarkan daripada garis jalan mengikut karakteristik pemanduan pemandu. 

 

Golf GTI disokong penyelenggaraan percuma selama 5 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. - DagangNews.com