Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan - BOH Plantations Sdn Bhd (BOH), penanam teh terkemuka dan jenama teh pilihan di Malaysia, telah diiktiraf Jenama Terbaik 2021-2022 bagi kategori Teh di World Branding Awards, anugerah berprestij yang berpangkalan di London, United Kingdom.
Dikenali sebagai satu penganugerahan global yang unggul, World Branding Awards memberi pengiktirafan kepada jenama-jenama terbaik dunia atas usaha dan pencapaian mereka.
Pemenang anugerah dinilai berdasarkan penilaian jenama, pengundian pengguna dalam talian dan penyelidikan pasaran.
Timbalan Ketua Pemasaran BOH, Aina Ramly berkata, kemenangan itu adalah sumbangan peminat-peminat teh BOH yang menginspirasikan jenama tersebut untuk terus berkongsi pengalaman 'Ummph' dengan secawan teh BOH lazat.
"'Ada BOH, Ada Ummph' adalah satu frasa yang sinonim dengan teh BOH dan menggambarkan koleksi tehnya yang tersendiri dengan rasa yang menyerlah dan penuh aroma," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, legasi BOH bermula pada tahun 1929 apabila J.A. Russell, seorang usahawan berpandangan jauh, menyedari adanya permintaan terhadap teh berkualiti tinggi.
Beliau terus mendapatkan sebidang tanah yang terletak 1,500 meter dari aras laut di Cameron Highlands, yang juga merupakan antara kawasan pertanian yang paling subur di negara ini.
Di situ, beliau telah mewujudkan taman teh BOH yang pertama, dan sejak itu, segalanya menjadi satu sejarah.
Kini, setelah lebih 90 tahun berlalu, keluarga Russell meneruskan visi beliau.
Merupakan antara beberapa syarikat di dunia yang menanam, memproses, membungkus dan memasarkan sendiri jenama teh tanah tinggi tulen, BOH menyediakan teh segar daripada pokok teh ke cawan dan telah menerima pelbagai pengiktirafan industri untuk standard tertinggi dalam kualiti produknya.
BOH memiliki 1,200 hektar kebun teh dan menghasilkan lebih 4.5 juta kilogram teh setiap tahun atau 5.5 juta cawan teh setiap hari.
Dengan peredaran masa, BOH telah mempelbagaikan pilihan teh, daripada satu kebun teh tunggal kepada gabungan istimewa, untuk memenuhi pilihan dan cita rasa berbeza rakyat Malaysia dan peminat-peminat teh di seluruh dunia.
Pilihan terbaik BOH termasuk Cameronian Gold Blend, Garden Teas, Malay Herbs, Seri Songket dan Spa Infusions.
Selain daripada teh hitam BOH yang terkenal, ia juga menyediakan teh berperisa, teh hijau, teh herba dan buah-buahan, campuran teh segera, campuran teh ais dan teh daripada sumber kebun tunggal. - DagangNews.com