XL milik Axiata Group catat pertambahan 900,000 pelanggan kepada 58.5 juta didorong segmen prabayar | DagangNews Skip to main content

XL milik Axiata Group catat pertambahan 900,000 pelanggan kepada 58.5 juta didorong segmen prabayar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Anak syarikat Axiata Group Bhd di Indonesia, XL Axiata menyaksikan jumlah pelanggannya meningkat sebanyak 900,000 dari suku tahun ke suku tahun kepada 58.5 juta, didorong oleh peningkatan dalam pelanggan prabayar.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, asas pelanggan pascabayar XL kekal pada 1.6 juta pelanggan.

 

“Kedua-dua hasil purata prabayar dan pascabayar bagi setiap pengguna (ARPU) masing-masing meningkat kepada 43,000 rupiah (RM12.10) and 91,000 rupiah (RM25.61). 

 

"Liputan yang dipertingkatkan dan peranti yang lebih berpatutan membawa kepada peningkatan 2% dari suku tahun ke suku tahun dan 8% dari tahun ke tahun dalam trafik data kepada 2,660 petabait (PB) pada suku kedua 2024 (2Q24)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

XL yang dimiliki 61.5% oleh Axiata Group, terus melabur dalam perkhidmatan internet berkualiti tinggi, khususnya di luar Jawa, dengan memperluaskan liputan 4G milik mereka.

 

"Mereka telah menambah 12,000 nod 4G daripada tahun ke tahun pada suku kedua 2024 dan menutup jejak 3G. 

 

"Ia menjadikan jumlah stesen pangkalan kepada kira-kira 164,000 dengan 62% tapak gentian berbanding 59% gentian pada suku kedua 2023," kata HLIB.

 

Firma penyelidikan tu berkata, untung bersih teras XL meningkat 58% kepada satu trilion rupiah (RM281.5 juta) bagi separuh pertama 2024, didorong struktur kos yang lebih menggalakkan.

 

Katanya, XL melaporkan keuntungan bersih teras apda suku kedua 2024 sebanyak 490 bilion rupiah (RM137.9 juta) menandakan penurunan dari suku tahun ke suku tahun sebanyak 11% tetapi meningkat 8% dari tahun ke tahun.

 

"Sisihan positif itu disebabkan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih kukuh daripada jangkaan," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Axiata dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.71 sesaham.

 

"Kami menyukai pendedahan serantaunya dengan tumpuan kepada negara-negara membangun yang mungkin memberikan potensi pertumbuhan yang besar.

 

"Walaupun kami percaya penggabungan CelcomDigi akan memberi ganjaran kepada Axiata dalam jangka panjang, risiko kawal selia dan ekonomi menjadi kebimbangan utama," katanya. - DagangNews.com