XTS Technologies perkenal sistem automasi Haipick, tingkat kecekapan di gudang simpanan | DagangNews Skip to main content

XTS Technologies perkenal sistem automasi Haipick, tingkat kecekapan di gudang simpanan

XTS Technologies memperkenalkan Haipick yang mampu meningkatkan kecekapan operasi di gudang penyimpanan pada majlis malam penghargaan syarikat itu kelmarin. /Gambar FB XTS

KUALA LUMPUR 18 Jan - XTS Technologies Sdn. Bhd. (XTS Technologies) memperkenalkan sistem pengendalian robot mudah alih berketinggian 11 meter pertama di dunia dikenali sebagai 'Haipick' yang mampu meningkatkan kecekapan operasi di gudang penyimpanan.

 

Digunakan oleh Sinma Digital Commerce Sdn Bhd, Haipick yang mempunyai teknologi terkini membolehkan syarikat itu meningkatkan kapasiti mereka pada kadar berlipat kali ganda.

 

Haipick secara simbolik diperkenalkan pada sebuah majlis malam penghargaan bersama Sinma Digital yang berlangsung di ibu negara malam kelmarin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sinma Digital, Lee Kia Shen berkata, kerjasama dengan XTS Technologies akan meningkatkan pertumbuhan strategik syarikat.

 

"Penyelesaian inovatif XTS membawa kecekapan dan ketepatan yang penting untuk pengembangan dan kecemerlangan operasi kami.

 

"Perkongsian ini meminimumkan kesilapan manusia dan mengoptimumkan penggunaan ruang dan mengukuhkan keyakinan kami pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

sinma
Xteven Teoh (kiri) dan Lee Kia Shen (dua dari kanan) pada majlis makan malam penghargaan anjuran XTS dan Sinma Digital malam kelmarin.

 

 

Sementara itu, XTS Technologies berkata, sistem Haipick memanfaatkan Teknologi Pengendalian Case Automatik (ACT) bagi meningkatkan keupayaan industri pergudangan dan logistik, selaras dengan permintaan dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR).

 

Pengarah Urusannya, Xteven Teoh berkata, XTS Technologies telah menjadi peneraju penyelesaian robotik dan automasi logistik gudang di Malaysia.

 

"Tumpuan kami melangkaui inovasi dan teknologi untuk turut merangkumi penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus yang kukuh. 

 

"Dalam projek seperti kerjasama AGF Forklift dengan Padini Holdings, kami menekankan kemampanan melalui automasi, mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga.

 

"Kami teruja dengan masa depan di mana inovasi kami dalam teknologi memainkan peranan penting dalam memupuk landskap industri yang mampan dan cekap, melambangkan intipati melangkaui 4IR," katanya dalam kenyataan hari inii.- DagangNews.com