YDP Agong sokong kerajaan laksana penjimatan drastik, subsidi bersasar | DagangNews Skip to main content

YDP Agong sokong kerajaan laksana penjimatan drastik, subsidi bersasar

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari 2024. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR 26 Feb - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyokong usaha kerajaan mengambil langkah penjimatan drastik dan melaksanakan pemberian subsidi bersasar.

 

Sultan Ibrahim bertitah, baginda kecewa apabila dimaklumkan kerajaan sedang menanggung beban hutang yang semakin besar selepas berada dalam kedudukan defisit fiskal sejak 1998.

 

Baginda turut mempersoalkan jika bebanan hutang itu yang mahu ditinggalkan pentadbiran negara kepada generasi muda kelak.

 

"Kerajaan sukar melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberi suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi susulan keadaan kewangan yang lemah ini.

 

"Dalam pada itu, dasar baharu perlu terus diperkenal bagi melengkapi dasar nasional lain, seiring pendekatan negara lebih menyeluruh.

 

"Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang juga inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini.

 

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

 

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

 

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

Ia merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

 

 

 

 

Sultan Ibrahim turut mengingatkan baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara. 

 

Dalam titah sulung selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas, Sultan Ibrahim bertitah semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

 

Seri Paduka Baginda juga bertitah menegaskan sekiranya ada pihak yang hendak bermain politik, mereka perlulah menunggu pada masa pilihan raya akan datang. - DagangNews.com