KUALA LUMPUR 16 Mac – YTL Communications Sdn. Bhd. menyeru semua pengendali mudah alih (MNO) menyokong usaha dan visi kerajaan untuk mempercepatkan pelancaran 5G ke seluruh negara menjelang 2024 dengan kos yang rendah kepada rakyat.
Pengarah Urusannya, Datuk Yeoh Seok Hong berkata, YTL Communications kini memperkukuhkan komitmennya untuk menyokong kerajaan dalam membawa 5G kepada negara.
Katanya, kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G akan menyediakan tulang belakang digital yang kukuh kepada Malaysia dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta usaha pendigitalan ekonomi.
"Kami juga menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan untuk mengekalkan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dan membenarkan MNO memiliki ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB).
"Dengan keputusan kerajaan memilih model SWN, kini menjadi tanggungjawab semua MNO untuk menyokong dan mempercepatkan wawasan kerajaan untuk membawa 5G ke seluruh negara menjelang 2024 pada kos terendah kepada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB).
Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco
Baca : Model SWN bantu rapatkan jurang digital di negara ini - Annuar Musa
Ia menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti.
DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) manakala MoF akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.
Pada 15 Disember lalu, YTL Communications dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) muncul 2 operator pertama yang menyediakan akses kepada 5G di negara ini.
Menurut Seok Hong, sebagai First-To-5G di Malaysia, YTL Communications menyaksikan keterujaan dan penggunaan perkhidmatan 5Gnya yang luar biasa.
"Dengan purata kelajuan 600Mbps bagi pengguna perkhidmatan kami, sesungguhnya kami berbangga dapat membawa perkhidmatan bertaraf dunia kepada para pelanggan.
"Memandangkan rangkaian 5G yang berkembang, kami akan terus memainkan peranan dalam membawakan keterhubungan 5G kepada setiap rakyat Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com