YX Precious Metal catat peningkatan untung bersih sebanyak 112% kepada RM2.8 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

YX Precious Metal catat peningkatan untung bersih sebanyak 112% kepada RM2.8 juta pada 2QFY23

YXPM ialah unit logam berharga Tomei Consolidated Bhd. yang terlibat terutamanya dalam pemborongan, reka bentuk dan pembuatan barang kemas emas.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - YX Precious Metals Berhad, pemborong dan pengilang barang kemas mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 112.2% kepada RM2.8 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM1.3 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM61.8 juta bagi suku berkenaan.

 

Margin keuntungan kasar bertambah baik daripada 6.9% tahun lalu kepada 8.5% pada suku dalam tinjauan, hasil daripada purata harga jualan yang lebih tinggi dan perbelanjaan jualan dan pengedaran yang lebih rendah.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23), kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.5 juta atau pertumbuhan 25.5%, tahun ke tahun dengan hasil sebanyak RM124.4 juta.

 

Pengarah Urusannya, Ng Sheau Chyn berkata, keputusan kewangan kumpulan mencerminkan komitmen untuk terus mencipta pendapatan yang mampan dan meningkatkan nilai pemegang saham.

 

Katanya, pihaknya akan terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran.

 

"Kami amat berpuas hati dengan strategi kami yang dilaksanakan dengan peningkatan dalam margin keuntungan kami untuk suku kedua.

 

"Kami optimis dapat mencapai prestasi kewangan yang memuaskan untuk sepanjang tahun ini," katanya.- DagangNews.com