Zurich Malaysia sumbang lebihan dana takaful kepada PBSMM untuk salur bantuan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia sumbang lebihan dana takaful kepada PBSMM untuk salur bantuan COVID-19

Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (dua dari kiri) mewakili PBSMM menerima sumbangan Zurich Malaysia daripada Nazrul Hisham Abdul Hamid (tiga dari kiri) bersama Hakim Hamzah, Ketua Setiausaha PBSMM (kiri) dan Dato’ Sri Suhaimi Yacob, Ahli Lembaga Pengarah PBSMM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

 


KUALA LUMPUR 13 Oktober – Zurich Malaysia telah menyerahkan sumbangan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) untuk menyokong kempen vaksinasi COVID-19 dan membantu mengurangkan penderitaan melalui program sara hidup bagi golongan rentan.

 

Zurich Malaysia menyalurkan lebihan dana takaful amnya kepada PBSMM bagi penggunaan inisiatif vaksinasi bergerak yang merangkumi penyediaan kenderaan, ambulans, peralatan perubatan, dan tenaga kerja.

 

Sumbangan ini merangkumi kos doktor, sukarelawan, bekalan perubatan, dan kemudahan. Inisiatif ini bertujuan untuk memberi vaksinasi kepada pesakit yang terlantar, orang kurang upaya dan migran asing, bagi meningkatkan perlindungan terhadap COVID-19 terutama di kalangan masyarakat yang berisiko.

 

Program vaksinasi bergerak PBSMM adalah sebahagian daripada inisiatif klinik bergerak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Nasional (PICK), yang membawa vaksin COVID-19 kepada kumpulan rentan dan luar bandar di seluruh negara.

 

Pengerusi Nasional PBSMM, Dato' Sri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, inisiatif klinik bergerak ini selaras dengan tujuan PBSMM untuk memberikan bantuan kepada kumpulan yang berisiko dan rentan.

 

Baginda bertitah, memastikan golongan rentan dilindungi dengan secukupnya daripada virus adalah hak kemanusiaan dan program ini memenuhi objektif PBSMM untuk memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal dalam usaha ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful, Nazrul Hisham Abdul Hamid berkata, mengambil kira keadaan semasa dan memahami keperluan mendesak masyarakat, pihaknya memutuskan untuk menyumbang kepada inisiatif PBSMM bagi pihak pelanggan melalui sumbangan dari lebihan dana takaful am.

 

‘’Kami berharap ia dapat membantu meningkatkan perlindungan kepada lebih ramai orang di Malaysia.

 

‘’Sumbangan ini adalah salah satu cara untuk melaksanakan komitmen kami terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dalam masa yang baik serta yang mencabar, dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah bersama,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Sumbangan Zurich Malaysia juga meliputi bantuan segera melalui pemberian wang tunai kepada 200 keluarga, dan bantuan makanan kepada 600 keluarga yang kehilangan pendapatan akibat wabak COVID-19.

 

Secara keseluruhannya, lebih 4,000 individu yang kurang bernasib baik akan mendapat manfaat daripada program ini.

 

Kerjasama ini meliputi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Lembah Klang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak. – DagangNews.com