Tidak susah hendak memahami kaedah dagangan kontra saham | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
CIKGU SAHAM - 23 March 2021

Tidak susah hendak memahami kaedah dagangan kontra saham 

 

URUS NIAGA kontra ialah satu transaksi yang mana anda membeli saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan menjual saham tersebut dalam masa 4 hari bekerja (T+2) tanpa sempat membuat penyelesaian ke atas pembelian saham syarikat tersenarai itu.

 

Dengan kata mudah, walaupun anda mempunyai modal pelaburan berbentuk tunai sebagai persediaan untuk membeli saham, anda telah menjual saham tersebut sebelum sempat anda membuat pembayaran jumlah sepenuhnya pada hari yang sepatutnya dibayar iaitu pada hari ke-3.

 

Sebagai contoh, anda membeli saham syarikat tersenarai Mawar pada hari Isnin (T ialah trading day atau hari dagangan). Anda boleh membayar pembelian tersebut menggunakan modal yang telah sedia ada di dalam trust account pada selewat-lewatnya hari Khamis.

 

Tetapi sekiranya anda menggunakan wang yang berada di dalam trust account untuk dibayar pada hari Khamis maka anda akan dikenakan faedah oleh syarikat broker saham. Anda sepatutnya menolak wang tersebut untuk membayar pembelian saham pada hari Rabu (T+2).

 

T (Isnin)  - trading day. Katalah T ialah hari Isnin iaitu hari anda membeli saham
 

T1 (Selasa)
 

T2 (Rabu) - perlu bayar pembelian saham sepenuhnya
 

T3 (Khamis) - jualan paksa akan dilakukan pada harga semasa hanya pada saham yang tidak dibayar.

 

Selagi anda tidak menggunakan wang yang berada di dalam trust account untuk membayar pembelian saham yang telah dibuat maka transaksi beli dan jual inilah yang disebut sebagai urus niaga kontra.
 

 

cikgusaham

 


Maka perbezaan dari segi harga beli dan jual merupakan untung kontra atau rugi kontra. Untung kontra ialah yang mana anda membeli pada harga yang rendah dan menjual pada harga yang lebih tinggi dan rugi kontra adalah sebaliknya.

 

Sebagai contoh, anda membeli saham syarikat tersenarai Kasturi pada harga RM1.00 dan anda menjualnya pada harga 80 sen tanpa membayar jumlah keseluruhan pembelian tersebut kerana telah dikenakan jualan paksa. Maka, pihak broker akan menghantar nota kontrak memberitahu anda untuk membayar jumlah kerugian iaitu 20 sen sesaham.

 

Jika anda membeli 1,000 unit saham maka kerugian kasar ialah RM200 kerana anda tidak membuat pembayaran penuh iaitu berjumlah RM2,000 selain dari kos-kos yang berkaitan.

 

Dan jika anda membeli saham syarikat tersenarai Kasturi pada harga RM1.00 dan dalam masa tempoh 4 hari bekerja ini anda menjualnya pada harga RM1.20 tanpa menolak wang yang ada di dalam trust account, maka anda telah meraih untung kontra sebanyak RM200 sesaham. Beza harga pembelian dan jualan ini akan dibayar pada T5 oleh syarikat broker saham.

 

Oleh kerana definisi tentang urus niaga kontra ini sangat mudah difahami dan seolah-olah lebih menguntungkan pedagang saham dari segi meletakkan modal tunai yang mencukupi sebelum membuat apa-apa pembelian saham.
 

 

cikgusaham

 


Ini ialah kerana terdapat fasiliti yang mana syarikat broker saham memberi kemudahan had membeli sekali atau dua kali ganda modal tunai yang diletakkan di dalam trust account. Jika anda memasukkan RM1,000 di dalam trust account, syarikat broker saham membenarkan anda membeli saham berjumlah RM2,000. Akaun dagangan ini dinamakan sebagai collateralised account

 

Terdapat juga keadaan yang mana pedagang yang aktif diberikan modal lebih dari dua kali ganda melihat kepada prestasi dagangan dan rekod urus niaga mereka.

 

Ia juga tertakluk kepada budibicara pihak syarikat broker saham dan perlu mendapat kelulusan dari pihak atasan untuk membenarkan pelanggan mendapat had membeli yang lebih besar. 

 

Ramai newbie saham yang sangat gemar membuat urus niaga kontra ini walaupun mereka tidak mahir membaca carta pergerakan harga saham atau langsung tidak mempunyai apa-apa ilmu tentang analisis teknikal dan juga fundamental.
 

 

cikgusaham

 


Golongan ini biasanya merupakan orang-orang yang mempunyai modal yang kecil tetapi ingin membuat untung dengan cepat. Mereka juga seolah-olah tidak mempunyai apa-apa perasaan apabila mengalami kerugian kontra. 

 

Banyak kes yang mana newbie saham ini membuat urus niaga kontra tanpa mempunyai perasaan sayangnya wang yang diperoleh dari penat lelah bekerja habis begitu sahaja membayar kerugian kontra.

 

Cikgu Saham kerap melihat newbie yang setiap minggu terpaksa menjual pegangan saham kerana dikenakan jualan paksa tetapi mereka masih juga meneruskan urus niaga kontra.

 

Kerugian yang semakin meningkat sedikit demi sedikit tidak langsung memberi kesan kepada mereka yang masih meneruskan membuat urus niaga kontra ini walaupun tidak memiliki ilmu atau teknik serta kepakaran membuat keuntungan jangka masa singkat.
 

 

cikgusaham

 


Kita sambung topik ini di minggu hadapan.     - DagangNews.com

 

 

Cikgu Saham Zuraida juga merupakan penulis buku saham "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Kepada yang berminat boleh dapatkan buku ini dengan hubungi talian 017-3084787.

 

 

KOLEKSI CIKGU SAHAM:

Waspada jangan gelojoh - peringatan kepada newbie saham

2 TAHUN BELAJAR SAHAM DENGAN GURU YANG SAMA

Panduan untuk kawal emosi semasa berurus niaga saham

SERBA TAK KENA BILA BERJUAL BELI SAHAM

Jangan panik semasa bursa tidak menentu

Dagangan tinggi tidak semestinya bermakna saham akan naik juga

Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags