Columbia Asia Hospital – Tebrau lancar unit dialisis untuk tampung pesakit di Johor yang semakin meningkat | DagangNews Skip to main content

Columbia Asia Hospital – Tebrau lancar unit dialisis untuk tampung pesakit di Johor yang semakin meningkat

Kumpulan Hospital Columbia Asia melancarkan pusat dialisisnya yang kedua tahun ini di Columbia Asia Hospital – Tebrau (CAH-Tebrau) di Johor Bahru.

 

Ia dirasmikan oleh Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon. Pusat dialisis ini dibangunkan untuk memenuhi permintaan pesakit buah pinggang yang semakin ramai di negeri ini. 

 

Kekurangan khidmat dialisis

Menurut Malaysian Dialysis and Transplant Registry, terdapat 8,431 pesakit dialisis pada awal 2018. Dalam jangka masa setahun, angka tersebut meningkat sehingga 44,136 pesakit.

 

“Ini bererti, setiap tahun ada 8000 pesakit buah pinggang yang baru di Malaysia yang memerlukan dialisis,” kata Rahani Yaacob, Pengurus Besar Rantauan CAH-Tebrau, dalam ucapannya baru-baru ini.

 

“Mengikut satu kajian yang dijalankan oleh National Renal Registry of Malaysia, Johor mempunyai bilangan pesakit dialisis yang kedua tertinggi per juta populasi di Malaysia, selepas Wilayah Persekutuan.” 

 

“Kami di Columbia Asia Hospital – Tebrau memainkan peranan untuk menampung situasi ini di Johor,” tambah Rahani.

 

“Sebelum kami melancarkan unit ini, ramai yang bertanya jika kami ada menyediakan perkhidmatan dialisis, terutamanya di kawasan ini. Dengan adanya unit dialisis ini, kami memudahkan pesakit untuk memperolehi khidmat yang diperlukan di persekitaran Tebrau."


 

rahani
Rahani Yaacob

 


Johor maju ke arah khidmat perubatan masa hadapan

Tetamu kehormat, Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berpendapat Johor mampu pergi lebih jauh sesampainya tahun 2030. Ini bukan sahaja dari segi ekonomi dan kualiti hidup tetapi juga dalam bidang khidmat kesihatan. Beliau percaya sistem kesihatan di Johor akan mendahului negeri-negeri lain di masa hadapan.

 

Berkenaan dialisis, beliau berkata, “Kesedaran lebih penting dari rawatan.” Beliau turut mengingatkan para tetamu tentang hypertensi, diabetes serta obesiti kerana ini boleh mendatangkan komplikasi buah pinggang.

 

Di majlis tersebut, Ling diiringi Rahani melawat unit dialisi dan mesra menegur sapa pesakit. Malahan, beliau sendiri menjalankan saringan kesihatan. Ini adalah suatu contoh yang baik untuk orang ramai.

 

CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan Columbia Asia, Dr Chan Boon Kheng pula menyebut tentang betapa pentingnya saringan kesihatan. “Kita harus terus bekerja keras untuk menyampaikan mesej pencegahan dan pengesanan awal,” kata beliau.

 

Turut hadir ke majlis tersebut ialah wakil dari Rotary Club, Lions Club, Kiwanis Club dan PERKESO, berserta wakil pihak kesihatan swasta, NGOs, badan korporat, insuran, pelanggan serta kakitangan perubatan.

 

Di majlis tersebut juga disediakan saringan kesihatan, fisioterapi dan konsultasi diet. Selain itu, terdapat pemeriksaan mata dari Eyemate, kasut untuk kesihatan dari Great Healthcare, insuran AIA, jagaan renal dari Fresenius Kabi dan StemCell by CyroCoad.

 

 

columbia

 

 

Tentang unit dialisis yang baru

Mengetuai unit nefrologi di CAH-Tebrau ialah Pakar Nefrologi serta Perubatan Dalaman, Dr Tee Shin Kuan. Mengikut Dr Tee, khidmat dialisis di CAH-Tebrau termasuk penasihat bidang nefrologi, akan menangani urusan hemodialisis pesakit. Jururawat renal yang berpengalaman turut membantu setiap pesakit sewaktu sesi hemodialisis.

 

Satu lagi faktor yang membezakan unit dialisis ini dari yang lain ialah khidmat sokongan yang dapat memberi lebih nilai pada setiap sesi dialisis. Pakar diet menasihati pesakit dialisis berkenaan pemakanan dan nutrisi. Ini untuk memastikan pesakit mendapat nutrisi yang cukup bagi menguatkan tubuh badannya. 

 

Pusat dialisis di CAH-Tebrau ini bersih, lapang, selamat dan nyaman. Ia menawarkan 11 stesen hemodialisis enam hari seminggu. Tambahan lagi, mesin-mesin dialisis ini terdapat Therapy Data Management System, sebuah sistem integrasi yang membolehkan maklumat setiap pesakit direkodkan serta dipantau. Ia serta-merta menunjukkan rawatan dialisis dan data perubatan pesakit, beserta data makmal dan yang berkaitan dengan pra-dialisis dan ketika dialisis.

 

Kesinambungan pemantauan ini adalah perlu bagi merancang rawatan yang terbaik buat pesakit. Selain itu, pesakit serta keluarga pesakit boleh dapatkan khidmat kemalangan, makmal, Internet, telefon tablet, snek dan parking di kawasan hospital. - DagangNews.com