Bursa Carbon Exchange berjaya laksana lelongan kredit karbon pertama negara | DagangNews Skip to main content

Bursa Carbon Exchange berjaya laksana lelongan kredit karbon pertama negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bursa Malaysia Berhad menerusi anak syarikatnya, Bursa Carbon Exchange (BCX) berjaya melaksanakan lelongan kredit karbon pertama negara pada 16 Mac 2023.

 

Lelongan yang dijalankan secara maya itu menyaksikan penyertaan menggalakkan dengan 15 pembeli daripada pelbagai industri melibatkan pembelian sejumlah 150,000 kredit karbon berdaftar Verra.

 

Bursa karbon patuh Syariah pertama di dunia, Bursa Carbon Exchange membolehkan dagangan kontrak piawai (kontrak) dengan kredit karbon asas daripada projek dan penyelesaian mesra iklim, yang boleh digunakan oleh korporat untuk mengimbangi jejak pelepasan dan memenuhi matlamat iklim.

 

Lelongan itu memudahkan penemuan harga kredit karbon daripada dua produk baharu yang ditawarkan oleh BCX iaitu Kontrak Karbon Berasaskan Teknologi Global (GTC) dan Kontrak Karbon Berasaskan Alam Semulajadi Global (GNC+).

 

Kontrak GTC menampilkan kredit karbon daripada Projek Pemulihan Biogas dan Penjanaan Kuasa Linshu di China dan projek itu mempunyai faedah yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), iaitu menjana tenaga bersih (SDG 7), menyediakan kerja yang baik (SDG 8) dan menangani perubahan iklim dengan mengurangkan pelepasan metana ke atmosfera (SDG 13).

 

Kontrak GTC terlebih langgan dan dijelaskan pada RM18.50 setiap kontrak.

 

Kontrak GNC+ menampilkan kredit karbon daripada Projek Southern Cardamom yang merupakan projek REDD+ (Mengurangkan Pelepasan daripada Penebangan Hutan dan Degradasi Hutan) dari Kemboja yang disertakan dengan piawaian iklim, komuniti dan biodiversiti (CCB) yang menyediakan faedah bersama tambahan, menyumbang kepada mata pencarian masyarakat tempatan dan pemuliharaan biodiversiti di Hotspot Biodiversiti Indo-Burma.

 


Kontrak GNC+ ini memperoleh harga penjelasan sebanyak RM68.00 setiap kontrak.

 

Antara pembida yang berjaya termasuk, AmBank (M) Berhad, AmBank Islamic Berhad, AmInvestment Bank Berhad, AU Synergy Sdn. Bhd., CIMB Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Malaysia Steel Works (KL) Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Pet Far Eastern (M) Sdn. Bhd., Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Yinson Holdings Berhad.

 

Bagi memastikan tadbir urus yang betul semasa penemuan harga, Bursa Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses pembidaan tetapi membeli kredit karbon hanya pada harga penjelasan lelongan. Kredit karbon daripada kedua-dua projek itu, dibekalkan oleh Vitol Asia Pte Ltd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Umar Swift berkata, pihaknya gembira dengan kejayaan pelaksanaan lelongan itu kerana berjaya meningkatkan tahap kesedaran tentang VCM dan peluang mengimbangi karbon di negara ini.

 

"Kami kini mempunyai mekanisme pasaran terbukti yang menyediakan harga dan ini adalah langkah penting ke arah membuka potensi Malaysia sebagai pembekal kredit karbon berkualiti tinggi.

 

“Kami mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap insentif pendanaan awal RM10 juta untuk kredit karbon Malaysia untuk didagangkan di BCX," katanya. - DagangNews.com