Cell Ag­riTech labur RM20 juta bangunkan fasiliti daging kultur pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Cell Ag­riTech labur RM20 juta bangunkan fasiliti daging kultur pertama di Malaysia

Jason Ng (kanan) menerangkan proses penghasilan daging kultur menggunakan kaedah bioteknologi kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup (dua, kanan) ketika perasmian Persidangan Pertama Daging Kultur Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 16 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Cell Ag­riTech Sdn Bhd akan menubuhkan fasiliti penghasilan daging kultur pertama di Malaysia yang bertempat di Pulau Pinang menje­lang akhir suku keempat 2024, dengan pelaburan sebanyak RM20 juta.

 

Selaras dengan penubuhan fasiliti itu, syarikat tersebut bakal melancarkan produk daging kultur pertamanya pada Mei 2025.

 

Daging kultur adalah daging yang dihasilkan daripada bioteknologi yang melibatkan pembiakan sel tisu haiwan dalam persekitaran makmal terkawal. 

 

Ini berbeza daripada kaedah penternakan haiwan konvensional yang melibatkan pemeliharaan dan penyembelihan haiwan. 

 

Hasil kaedah bioteknologi ini adalah replika daging sebenar yang berpotensi menawarkan rasa, tekstur dan nilai pemakanan yang sama seperti daging yang diperoleh melalui kaedah penternakan konvensional. 

 

Pengasas dan Naib Presiden Penghasilan Kumpulan Syarikat Cell AgriTech, Jason Ng berkata, pihaknya bangga menjadi syarikat daging kultur yang pertama di Malaysia dan ingin menawarkan alternatif mampan serta lazat kepada produk daging tradisional. 

 

"Kami percaya bahawa daging kultur merupakan makanan masa hadapan. Kami komited untuk memberi penyelesaian inovatif dan mampan kepada industri daging kerana tumpuan kami adalah dalam bidang pertanian selular," katanya dalam kenyataan.

 

 

cell

 

 

Terdahulu, Cell AgriTech dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation sebagai penganjur bersama menganjurkan Persidangan Pertama Daging Kultur Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Mac 2023.

 

Ng berkata, Cell AgriTech akan bekerjasama dengan UmamiMeats, iaitu syarikat Singapura yang menghasilkan makanan laut kultur, untuk meningkatkan pengeluaran makanan laut kultur di Singapura dan Malaysia. 

 

"Kami telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam mengembangkan rangkaian sel kultur untuk ikan kerapu, belut Jepun, dan jenahak, dan kini kami bersedia untuk meningkatkan usaha pengeluaran kami," katanya.

 

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia untuk memperkenalkan program pensijilan profesional bagi daging kultur yang merangkumi konsep asas hingga aplikasi industri. 

 

Sukatan pelajaran bagi program ini telah dimuktamadkan dan individu yang berminat boleh memohon untuk menyertai kursus ini bermula Mei 2023. - DagangNews.com