MUSIBAH yang berlaku pada kapal perang Tentera Laut Diraja Thailand, HTMS Sukhothai yang karam pada malam Ahad lalu, mengejutkan angkatan laut serantau.
Kapal perang jenis korvet kelas Ratanakosin ini karam semasa laut bergelora kira-kira 37 kilometer dari luar pesisir pantai tenggara Thailand.
Difahamkan, enjin kapal perang berusia 35 tahun ini mengalami kerosakan sebelum kapal menjadi senget pada kedudukan 20 batu nautika dari pesisir pantai.
Dalam insiden ini, seramai 75 kru HTMS Sukhothai berjaya diselamatkan, enam maut manakala pencarian baki 23 lagi kelasi hilang diteruskan.
Thailand mempunyai dua korvet kelas Ratanakosin yang dibina Tacoma Boatbuilding Company di Amerika Syarikat (AS) dan digunakan sejak 1987.
Kapal kedua ialah HTMS Ratanakosin yang mana kedua-dua korvet ini mempunyai kemampuan peperangan tiga dimensi.
Ini merupakan musibah kedua melibatkan kapal perang tentera laut serantau yang berlaku sejak tahun lalu.
Pada April 2021, kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru dtenggelam di perairan Bali semasa mengadakan latihan.
Kapal selam berusia 40 tahun buatan Jerman itu terputus hubungan selepas meminta kebenaran untuk menyelam ketika sesi latihan torpedo.
Walaupun sesebuah kapal perang dibina dengan ketahanan pada keadaan cuaca di laut yang ekstrem, namun ia masih terdedah kepada ancaman karam jika berlaku keadaan-keadaan di luar kawalan atau disebabkan kemalangan.
Insiden pada HTMS Sukhothai turut mendapat reaksi daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang merakamkan rasa dukacita pada musibah yang menimpa.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengucapkan salam takziah kepada warga Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) atas musibah
Dalam kenyataan itu, pihaknya berharap dan mendoakan semoga warga HTMS Sukhothai yang masih hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat.
"TLDM amat memahami keadaan dan situasi yang dihadapi pengurusan tertinggi RTN, apatah lagi warga kapal tersebut yang terpaksa melaksanakan operasi dalam situasi laut bergelora dan keadaan kapal berusia 35 tahun.
"Pastinya terdapat banyak cabaran dan kekangan yang dilalui bagi memastikan kapal berkenaan siap siaga untuk diatur gerak sebilang masa," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, sebanyak 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal TLDM.
“Tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekali gus isu keusangan aset-aset kita, masalah ini akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang.
“Dalam masa yang sama, TLDM akan mengkaji semula kesemua SOP berkenaan ‘sea worthiness’ dan penugasan kapal-kapal kita yang jauh lebih tua berbanding HTMS Sukhothai,” ujar kenyataan itu.
Isu aset-aset usang dalam TLDM telah lama membelenggu angkatan laut tersebut dan ia menjadikan tugas mengawasi perairan negara tambah mencabar.
Pengoperasian kapal-kapal usang dan kekangan bajet pertahanan bukan sahaja menjejaskan kesiagaan serta kemampuannya, malah secara tidak langsung merisikokan keselamatan warga TLDM.
Kegagalan memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menyebabkan TLDM terpaksa segera melakukan ‘proses kitar semula’ atau program memanjangkan hayat kapal sedia ada.
Kali terakhir TLDM membeli kapal perang moden ialah 23 tahun lalu iaitu frigate KD Jebat dan KD Lekiu yang juga merupakan tunjang utama kekuatan armada kita.
Kapal perang kedua terbaik negara pula ialah korvet KD Kasturi dan KD Lekir yang diguna sejak 40 tahun lalu.
Pada yang lupa, TLDM sendiri pernah mengalami insiden seperti HTMS Sukhothai apabila kapal peronda KD Sri Perak (P3140) tenggelam pada 8 Januari 1984 di perairan Laut Cina Selatan dekat timur Malaysia.
Tragedi tersebut telah mengorbankan tiga anggota TLDM yang hilang dihanyutkan arus deras ketika mereka semua menyelamatkan diri apabila kapal KD Sri Perak mula tenggelam.
KD Sri Perak dengan anggota seramai 29 orang dan tiga pegawai bertolak dari Pangkalan TLDM di Woodland Singapura ke Pulau Labuan bagi tujuan latihan dan operasi.
Pelayaran ketika itu turut disertai kapal KD Hang Tuah serta KD Sri Terengganu (P3143), tetapi apabila sampai ke kawasan rumah api Horsburgh, laut mula bergelora setinggi tujuh meter.
Kru kapal malang ini diselamatkan selepas selepas 72 jam terapung oleh sebuah kapal dagang yang melalui kawasan kejadian sebelum dipindahkan ke kapal KD Mahawangsa.
Kapal peronda KD Sri Perak ini merupakan salah satu daripada 22 kapal peronda TLDM dalam kelas ‘Kedah’ yang dibina di Portsmouth, England dan ditauliahkan pada 1963.
Antara kru KD Sri Perak yang terselamat ialah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang semasa kejadian berpangkat Pegawai Kadet Kanan (PKK).
Beliau bersama lima lagi PKK mengikuti kapal tersebut sebagai pelatih.
Hingga hari ini insiden KD Sri Perak sentiasa diingati warga TLDM sebagai satu sejarah duka yang mana kehilangan jiwa dan sebuah aset sepatutnya dapat dielakkan jika perkara-perkara sewajarnya diambil kira.
Walaupun sehingga kini aset-aset TLDM masih dapat beroperasi dengan baik yang mana ia turut disumbangkan oleh sistem selenggaraan berkualiti, tetapi bagi keperluan modeniasi memiliki kapal baharu sangatlah perlu. - DagangNews.com