Kenanga Research jangka perbelanjaan sektor pengguna terus berdaya tahan walaupun kerajaan tiada rancangan perkenal GST | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka perbelanjaan sektor pengguna terus berdaya tahan walaupun kerajaan tiada rancangan perkenal GST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pengguna dengan tumpuan dikhususkan kepada peruncit.

 

Firma itu menjangkakan, perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan walaupun tiada sebarang rancangan segera oleh kerajaan untuk merasionalkan subsidi atau memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan.

 

Katanya, kumpulan B40 akan terus mendapat manfaat daripada pelbagai program bantuan kewangan, terutamanya pemberian wang tunai.

 

Firma itu berkata, turut membantu ialah ekonomi yang agak stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat, ditambah pula dengan kunci kira-kira isi rumah yang kukuh bagi kumpulan M40.

 

Firma itu menjangkakan, jualan runcit akan berterusan sepanjang 2023 berikutan peningkatan 33.3% pada 2022.

 

“Dengan jualan runcit tempatan pulih ke tahap pra pandemik, Retail Group Malaysia (RGM) mengunjurkan jualan runcit tempatan hanya berkembang 3.5% pada 2023 daripada asas yang lebih tinggi pada 2022.

 

“Namun begitu, ia masih menyaksikan pertumbuhan tahun yang kukuh sebanyak 9.2% pada suku pertama 2022 (sebelum berkurangan). Khususnya, gedung serbaneka diunjurkan mencapai pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 15.8% dalam tempoh yang sama yang merupakan petanda baik bagi Aeon Co (M) Bhd dan Padini Holdings Bhd.

 

“Pilihan utama sektor kami ialah Aeon (outperform; TP: RM1.80), Padini (outperform; TP: RM6.00) dan QL Resources Bhd (outperform: TP: RM6.66),” katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata prospek pengeluar dan pembuat tembakau dilihat lebih lemah.

 

“Kebanyakan syarikat di bawah liputan kami menjangkakan 2023 mencabar kerana mereka menjangkakan peningkatan inflasi dan kos input yang tidak menentu untuk melembapkan jumlah jualan.

 

“Peraturan yang diumumkan baru-baru ini mengenai produk tembakau dan wap kelihatan bercampur-campur untuk British American Tobacco (M) Bhd (market perform; TP: RM12),” katanya. - DagangNews.com