Lotte Chemical Titan rugi bersih RM356.1 juta bagi 3QFY22 akibat kelemahan pasaran | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical Titan rugi bersih RM356.1 juta bagi 3QFY22 akibat kelemahan pasaran

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Lotte Chemical Titan Holding Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM356.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22).

 

Kerugian itu berpunca daripada penurunan margin keuntungan disebabkan permintaan pasaran yang lemah dalam industri fabrikasi hiliran serta kebimbagan kemelesetan ekonomi global dan kos bahan suapan naphtha yang lebih tinggi.

 

Selain itu, penurunan inventori sebanyak RM71.9 juta juga menyumbang kepada kerugian itu selain penurunan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu Lotte Chemical USA Corporation.

 

Kumpulan itu bagaimanapun merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6% daripada RM2.24 bilion kepada RM2.37 billion dengan dua produk utamanya iaitu olefin serta produk terbitan dan poliolefin, masing-masing mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 10% dan 5%.

 

Bagi tempoh 9MFY2022, hasil kumpulan itu meningkat 11% atau RM804.7juta kesan daripada peningkatan harga purata jualan tetapi mencatatkan kerugian sebanyak RM402.6 juta bagi tempoh itu kesan daripada faktor yang disebutkan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Park Hyun Chul berkata, pasaran semasa terkesan akibat ketakutan terhadap kemelesetan ekonomi dan pelanggan kumpulan berhati-hati ketika membuat pembelian kerana peningkatan kadar faedah yang memberi kesan kepada produk kumpulan itu.

 

Beliau berkata, mengekalkan daya tahan kewangan yang kukuh adalah penting untuk kumpulan dalam tempoh yang mencabar itu kerana sebagai entiti perniagaan yang bertanggungjawab, pihaknya sentiasa mementingkan pelan kemampanan dalam operasi sebagai pemacu kritikal untuk pertumbuhan perniagaan.

 

"Kami sentiasa melaksanakan pelan perniagaan yang berkesan dengan mengimbangi pengeluaran dan kecekapan ekonomi.

 

"Dengan baki tunai yang sihat dan kedudukan pinjaman sifar, kami boleh mengharungi ketidaktentuan dan mengatasi cabaran untuk merealisasikan visi untuk menjadi syarikat petrokimia terbaik di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com