PRU15: BN dijangka menang paling banyak kerusi, didorong pengundi Melayu yang serik dengan PH – Penganalisis   | DagangNews Skip to main content

PRU15: BN dijangka menang paling banyak kerusi, didorong pengundi Melayu yang serik dengan PH – Penganalisis  

Pengundi Melayu tidak lupa apa yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan semasa memerintah dahulu, dan kini tidak akan menyokong PH.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

GABUNGAN Barisan Nasional (BN) atau lebih khusus UMNO berkemungkinan memenangi kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Umum (PRU15) yang dijadualkan pada 19 November ini, menurut seorang penganalisis politik terkemuka.

 

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata ini adalah kerana orang Melayu konservatif berkemungkinan besar akan kembali kepada UMNO secara besar-besaran untuk menghalang satu lagi pusingan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang mereka rasa mengancam kedudukan dan keistimewaan mereka.

 

“Kepada orang Melayu konservatif yang membentuk sebahagian besar pengundi Malaysia, ancaman yang dirasakan terhadap kedudukan istimewa dan keistimewaan mereka terhakis di bawah satu lagi pusingan pemerintahan PH akan mengatasi kebimbangan terhadap masalah undang-undang pemimpin UMNO.

 

“Lagipun, pada kemuncak skandal 1MDB pada 2018, hanya kurang daripada satu perempat undi Melayu pergi untuk PH,” kata Oh kepada DagangNews di sini hari ini.

 

Dr Oh yang berpangkalan di Singapura diminta berkongsi pandangan mengenai PRU15 akan datang.

 

 

Dr Oh Ei Sun
                                                        Dr Oh Ei Sun

 


Ditanya mengapa sesetengah parti termasuk PKR, PAS, dan juga Bersatu tidak berpuas hati PRU15 diadakan bulan depan dan mendakwa musim hujan sebagai alasan, Oh berkata: “Itu dan hakikat bahawa mereka mengharapkan lebih banyak masa untuk menembusi pengundi Melayu”.

 

Oh juga ditanya sama ada PH berpeluang untuk membuat kemunculan semula selepas 22 bulan gagal dalam pentadbiran apabila orang ramai menaruh harapan tinggi pada awalnya.

 

Menurut beliau, "amat sukar kerana majoriti pengundi Melayu tidak menyokong mereka".

 

BACA: Kestabilan politik kunci pemulihan ekonomi Malaysia, Keupayaan BN terbukti diyakini komuniti perniagaan - Ketua Pakar Ekonomi

 

Apakah kesilapan besar PH ketika mentadbir negara, Oh berkata: “Mungkin (mereka) terlalu bersemangat (atau ghairah) dalam membersihkan kelemahan BN, yang akhirnya mendapat tentangan hebat daripada mereka yang mendapat manfaat untuk masa yang lama.


 

pru15

 


Menyentuh tentang kehendak komuniti perniagaan dalam PRU kali ini, Oh berkata: Ia bergantung kepada jenis perniagaan yang berkenaan.

 

Katanya, pelabur nilai tambah tinggi asing sudah tentu mengharapkan kerajaan yang bersih dan cekap. Sebaliknya, perniagaan yang berkembang pesat dengan pakatan sulit dengan pegawai kanan lebih suka status quo.

 

BACA JUGA: Pasaran saham jangka Barisan Nasional akan menang PRU15, kata CGS-CIMB

 

Dewan Rakyat ke-14 dijangka tamat pada 16 Julai 2023, lima tahun selepas mesyuarat pertama sesi pertama Parlimen Malaysia ke-14 pada 16 Julai 2018.

 

Bagaimanapun, atas permintaan penyandang Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah perkenan membubarkan Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2022, dan kemudiannya diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari itu.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada sidang media yang diadakan pada 20 Oktober lepas.

 

 

pru15

 


Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November, manakala pengundian awal 15 November 2022.

 

Pengumuman dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung PRU15.

 

Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal yang ke-14 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober lalu. – DagangNews.com