Sime Darby Property rangkul dua anugerah hartanah daripada FIABCI Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property rangkul dua anugerah hartanah daripada FIABCI Malaysia

Datuk Azmir Merican (lima dari kiri) bersama tujuh ketua pegawai Sime Darby Property menghadiri Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2022
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Sime Darby Property Berhad telah merangkul dua kategori daripada Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2022 baru-baru ini.

 

Anugerah tersebut telah mengiktiraf Cantara Residences, pembangunan kediaman berorientasikan keluarga yang terletak di Ara Damansara dengan kategori Residential Mid-Rise.

 

Sementara itu, Bandar Elmina memenangi kategori Masterplan untuk reka bentuk holistik yang membuktikan alam semula jadi boleh berkembang maju di samping pembangunan terancang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata pengiktirafan itu membuktikan kecemerlangan menyeluruh syarikat sebagai pemain industri hartanah.

 

 

elmina
Bandar Elmina

 

 

“Sejajar dengan misi Force For Good syarikat, kami didorong untuk membangunkan projek untuk kepentingan perpaduan masyarakat dan kesejahteraan semua generasi.

 

“Pengiktirafan terhadap usaha syarikat memberi inspirasi untuk bekerja lebih keras lagi untuk mewujudkan perbandaran, komuniti dan masa depan yang lestari, mememberi contoh kepada tujuan kami untuk menjadi pengganda nilai untuk manusia, perniagaan, ekonomi dan bumi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Cantara Residences merupakan kediaman berservis yang terdiri daripada empat menara yang telah diperakui oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan terkenal dengan seni bina ikonik yang tersenarai sebagai ‘Jambatan Gantung Kediaman Terpanjang’ di dalam Malaysia Book of Records.

 

Cantara Residences mempunyai kemudahan bersama berkeluasan 3.2 hektar terletak di dalam hutan bandar yang telah membantu meningkatkan bulangan kehijauan sebanyak 200% sejak permulaan pembangunan.

 

Sementara itu, Bandar Elmina direka bentuk untuk kehidupan berbilang generasi dengan komuniti hijau yang mempunyai keluasan kawasan taman dilengkapi oleh Hutan Simpan Bukit Cherakah dengan trek berjoging dan berbasikal sepanjang 90km serta dataran untuk pelbagai perayaan dan acara masyarakat berskala besar.

 

Perbandaran Elmina seluas 300 hektar akan dibangunkan secara beransur-ansur mulai 2024 dan menyediakan pelbagai tarikan seperti Taman Permainan Inklusif, Pusat Pengetahuan Hutan Hujan dan pusat semaian bagi menghimpunkan pelbagai spesies pokok untuk dipupuk, berfungsi sebagai bank benih dan gen untuk ekosistem masa hadapan dan pemulihan habitat. -DagangNews.com