TNB buat persiapan menyeluruh hadapi musim tengkujuh | DagangNews Skip to main content

TNB buat persiapan menyeluruh hadapi musim tengkujuh

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Semua perkhidmatan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat persiapan menyeluruh menghadapi musim tengkujuh, termasuk membuat penambahbaikan kepada beberapa infrastruktur kritikal miliknya yang terletak di kawasan berpotensi ditenggelami air banjir, kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya, Wan Nazmy Wan Mahmood.

 

Wan Nazmy berkata, pada masa yang sama, kesemua empangan hidroelektrik TNB juga telah dipastikan berada dalam keadaan baik untuk terus berfungsi sebagai tebatan banjir, antaranya dengan mengurangkan paras air empangan secara berperingkat mulai Julai lalu.

 

Jelasnya, TNB telah memasang tembok penahan sistem perparitan di Pencawang Masuk Utama (PMU) dan meninggikan aras platform peralatannya, manakala set-set janakuasa bergerak serta janakuasa mudah alih dan perkakas kritikal seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah ditempatkan di lokasi-lokasi strategik.

 

“Langkah-langkah lain adalah mengubah lokasi dan meningkatkan ketinggian menara penghantaran untuk memastikan tiada risiko menara tumbang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, sebaik keadaan berjaga-jaga diperlukan, bilik gerakan TNB di negeri yang terbabit banjir akan diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

 

“Sekali lagi kami ingin menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air. 

 

 

tnb
TNB meninggikan aras platform pencawang elektrik miliknya yang terletak di kawasan berpotensi ditenggelami banjir, sebagai persiapan untuk menghadapi musim tengkujuh

 

 

tnb
Wan Nazmy Wan Mahmood mendengar penerangan dari Jurutera Kanan TNB, Sanusi Abu Bakar mengenai persiapan TNB memastikan bekalan elektrik stabil dan berdaya harap sepanjang musim tengkujuh di Pahang

 

 

"Jika ada pencawang elektrik ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” katanya. - DagangNews.com