KUALA LUMPUR 26 Okt - Untung bersih Nestle (M) Bhd. susut 23.9% kepada RM112.65 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM148.02 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu disebabkan harga komoditi yang lebih tinggi dan kadar tukaran asing tidak menguntungkan serta impak daripada bayaran Cukai Makmur, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pendapatan bagaimanapun meningkat 17% kepada RM1.68 bilion pada tempoh itu berbanding RM1.44 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya didorong jualan eksport dan dalam negeri yang lebih tinggi, masing-masing meningkat 30.2% dan 13.5%.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih meningkat kepada RM487.48 juta daripada RM457.71 juta manakala pendapatan juga meningkat kepada RM5.02 bilion berbanding RM4.27 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Jualan domestik dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 13.7% dan 33.8% berikutan pertumbuhan kukuh dalam kedua-dua segmen teras makanan dan minuman (F&B) dan saluran luar rumah (OOH), yang terus mendapat manfaat daripada pemulihan kukuh berikutan penarikan sepenuhnya sekatan pergerakan pada awal tahun ini.
Untuk tempoh itu, jualan yang lebih tinggi dan perbelanjaan COVID-19 lebih rendah membantu mengurangkan sebahagian daripada kesan harga komoditi yang lebih tinggi, kadar pertukaran yang tidak menggalakkan dan kesan Cukai Makmur terhadap keuntungan bersih.
Selaras dengan komitmen kumpulan untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 70 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), selaras dengan dividen interim kedua 2021.
Menurut Nestle, ia melihat satu suku lagi dengan permintaan yang kukuh untuk portfolio produk dan jenamanya, sekali gus mengukuhkan jangkaannya dan permintaan pengguna di negara ini.
"Kami kekal komited untuk membawa visi 'Good Food, Good Life' kami kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat, di mana sahaja mereka berada dan dalam apa juga format produk yang digemari.
"Komitmen dan usaha semua pasukan Nestle membolehkan kami mengekalkan kedudukan utama dalam kalangan industri FMCG. Malah, Nestle terus berdiri teguh menyambut ulang tahun ke-110 kami di Malaysia," katanya.
Mengenai prospek tahun ini, kumpulan kekal dalam kedudukan yang berdaya tahan untuk menyampaikan pertumbuhan kukuh selama setahun.
"Namun begitu, kami terus berdepan dengan keadaan pasaran yang sukar ditakrifkan oleh harga komoditi yang tinggi dan kos tenaga, dalam persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu," jelasnya. - DagangNews.com