ECERDC bangunkan Lembah Tenusu sasar capai 40% keperluan susu segar menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

ECERDC bangunkan Lembah Tenusu sasar capai 40% keperluan susu segar menjelang 2030

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip mendengar taklimat mengenai projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) oleh ECERDC di Pavilion Johor sempena MAHA 2022
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bercadang untuk membangunkan Lembah Tenusu ECER bagi meningkatkan lagi kemampuan dan kapasiti pengeluaran sektor tenusu negara di bawah inisiatif agrofood@ECER.

 

Menurut ECERDC, projek itu merangkumi Lojing, Kelantan; Bukit Kajang dan Sungai Ketam di Pahang Barat dan Terengganu untuk mencapai sasaran memenuhi 40% keperluan susu segar negara menjelang 2030.

 

Katanya, projek terbaharu ECERDC ialah Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing, Johor bagi memenuhi keperluan semasa susu segar negara, yang pada masa ini adalah sebanyak 64.3 juta liter setahun.

 

"Apabila projek JDV seluas 275 hektar ini beroperasi sepenuhnya pada 2024 kelak, ia akan meningkatkan bekalan pengeluaran susu negara sebanyak 10% iaitu 5.1 juta liter setahun. 

 

"Syarikat Induk dijangka melabur sebanyak RM60 juta dalam tempoh 3 tahun pengoperasian dan seterusnya melahirkan 30 peladang satelit serta mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

ECERDC

 

 

Selain itu, ECERDC juga sedang giat membangunkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (PPSK) dan Pusat Penjualan Makanan Ternakan (PPMT) di Kelantan. 

 

Kedua-dua PPSK yang akan dibangunkan di Jajahan Pasir Puteh dan Ketereh itu bakal dilengkapi dengan
kemudahan penyimpanan susu kambing yang disasarkan mencecah 2,000 liter sehari manakala PPSK di Ketereh juga akan dilengkapi dengan kemudahan pempasteuran dan pembungkusan susu kambing.

 

ECERDC berkata, model Syarikat Induk yang dilaksanakan dalam projek-projeknya merupakan kerjasama
awam-swasta, di mana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi dan jabatan yang berkaitan bekerjasama dengan pemain industri swasta bagi membangunkan industri pertanian secara mampan. 

 

"Kerjasama ini termasuklah pembangunan infrastruktur strategik, aktiviti penjanaan pelaburan, dan pengendalian keseluruhan aktiviti rantaian nilai pengeluaran makanan," jelasnya.

 

 

ECERDC

 

 

Selain Lembah Tenusu, ECERDC juga membangunkan projek seperti makanan ternakan, tanaman kelapa, fertigasi dan Transformasi Industri Perikanan di Tok Bali dan akuakultur. 

 

Projek-projek itu, katanya, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan tahap sara diri (SSL) makanan negara.

 

"Negara kini berdepan dengan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan geopolitik dan penularan pandemik yang telah memberi impak kepada rantaian bekalan makanan global yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan pasaran tempatan. 

 

"Cabaran semasa ini telah mendorong ECERDC untuk menggiatkan usaha untuk terus komited menerajui inisiatif sekuriti makanan negara melalui projek-projek di bawah inisiatif agrofood@ECER," katanya. 

 

Menurutnya, hala tuju ECERDC menerusi agrofood@ECER adalah membangunkan industri agromakanan ke arah mencapai tahap sara diri yang secara langsung akan mengurangkan kebergantungan import, selaras dengan aspirasi untuk meletakkan ECER sebagai antara wilayah pengeluar makanan utama negara. 

 

Katanya, ECERDC berhasrat untuk memodenkan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi pertanian pintar dalam usaha meningkatkan kualiti penanaman dan pengeluaran hasil tanaman ketahap optimum. 

 

"Kami menggalakkan usahawan tani mengutamakan penggunaan dan pengintegrasian teknologi terkini dalam bidang pertanian untuk meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian di peringkat hiliran dan huluan. 

 

"Usaha ini melibatkan penggunaan teknologi Industri 4.0 seperti pengkomputeran awan dan aplikasi Internet of Things untuk memantau dan melaksanakan kaedah pertanian baharu yang boleh meningkatkan daya tahan tanaman atau kesihatan ternakan, sekali gus meningkatkan hasil dan kecekapan penggunaan tanah," jelasnya. - DagangNews.com