Haily muncul di Pasaran ACE 11 sen lebih tinggi daripada IPO | DagangNews Skip to main content

Haily muncul di Pasaran ACE 11 sen lebih tinggi daripada IPO

DARI kiri, Yoong Woei Yeh, See Swee Ling, See Tin Hai, Mohd Jaffar Awang (Ismail), Tan Sui Huat dan Ong Kheng Swee.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Haily Group Berhad (Haily) memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities hari ini dengan premium 11 sen atau 16.18% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) 68 sen sesaham kepada 79 sen.

 

Kumpulan juga mencatatkan dagangan sulung sebanyak 7.19 juta saham.

 

Mengulas mengenai upacara penyenaraiannya, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Haily, Mohd Jaffar Awang (Ismail) berkata, penyenaraian itu adalah tonggak bersejarah yang penting bagi Haily kerana berjaya membawa kumpulan ke tahap lebih tinggi, bermula dari peringkat awal yang sederhana oleh Pengasasnya, See Tin Hai dan Kik Siew Lee pada tahun 2007. 

 

“Saya percaya bahawa pelaksanaan penyenaraian ini akan membantu membuka potensi kumpulan dengan meningkatkan reputasi kami ketika memasarkan perkhidmatan pembinaan dan memperluas asas pelanggan kami di Malaysia.

 

"Kami mempunyai projek yang sedang berjalan yang dapat menyokongkan kami setidak-tidaknya sehingga 2023. Pada masa ini, Haily mempunyai 18 projek pembinaan bangunan dan juga dua projek pembinaan yang berkaitan dengan kejuruteraan awam. 

 

Mohd Jaffar Awang (Ismail)
Mohd Jaffar Awang (Ismail)

 

“Keseluruhan nilai kontrak terjamin dan nilai kontrak belum dibil pada 10 Jun 2021 masing-masing berjumlah RM460.04 juta dan RM249.58 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tin Hai; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Haily, Yoong Woei Yeh; Pengarah Eksekutif Haily, See Swee Ling; Pengarah Kanan Bebas dan Bukan Eksekutif Haily, Tan Sui Huat; dan Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Haily, Ong Kheng Swee.

 

Pada majlis penyenaraian yang dibuat secara maya itu, beliau menjelaskan bahawa kumpulan merancang untuk terus menumpu kepada kelebihan utamanya dalam pembinaan bangunan di Johor sambil memanfaatkan pengalamannya untuk memperluas jangkauan ke daerah lain. 

 

"Kumpulan kami akan dapat memanfaatkan kemampuan kami sebagai kontraktor Gred G7 yang mana membolehkan kami menawar dan melaksanakan sebarang saiz projek pembinaan bangunan tanpa mengira nilai kontrak,” katanya lagi.

 

Ujarnya lanjut, Haily telah menyiapkan sejumlah 65 projek pembinaan bangunan dengan nilai kontrak sebanyak RM1.29 bilion sejak 2008.

 

Haily pada dasarnya merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, khususnya di Johor, dan juga terlibat dalam penyediaan sewaan mesin pembinaan.

 

IPO kumpulan melibatkan terbitan awam sebanyak 30.00 juta saham pada harga 68 sen setiap satu serta menjana hasil kasar sebanyak RM20.40 juta. 

 

Daripada 30.00 juta saham itu, ia menawarkan 8.92 juta saham kepada orang awam Malaysia, 10.00 juta kepada para pengarah, pekerja dan mereka yang memenuhi syarat di mana telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan, serta 11.08 juta kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Di samping itu, terdapat tawaran untuk jualan oleh penganjurnya yang melibatkan 18.00 juta saham biasa sedia ada dalam Haily secara penempatan saham kepada pelabur terpilih. 

 

Penawaran 8.92 juta saham kepada orang awam Malaysia telah terlebih langganan sebanyak 38.81 kali. TA Securities Holdings Berhad adalah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin serta Ejen Penempatan berkaitan dengan IPO berkenaan.

 

"Kami juga akan menggunakan sebahagian daripada modal yang diperoleh dari pelaksanaan IPO kami untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan tambahan terutama untuk memudahkan penjadualan kerja pembinaan kami dengan lebih baik apabila projek-projek tersebut memerlukan penggunaan serentak dan dalam jangkaan pertumbuhan masa depan," katanya. 

 

Mengenai dasar dividen, kumpulan berhasrat untuk mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan tahunannya yang dapat diberikan kepada pemegang saham setelah penyenaraian selesai. 

 

Namun, ini bukan merupakan kewajipan yang diikat secara sah atau jaminan komitmen kepada para pemegang saham. 

 

Dividen yang diisytiharkan dan diagihkan oleh kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY17), FY18, FY19 dan FY20 adalah masing-masing RM10.01 juta, RM5.25 juta, RM6.00 juta dan RM2.50 juta. - DagangNews.com