Akta larangan lompat parti tidak terpakai secara restrospektif, kata Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Akta larangan lompat parti tidak terpakai secara restrospektif, kata Perdana Menteri

Undang-undang larangan melompat parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara, terutamanya disebabkan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Akta larangan lompat parti tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan undang-undang tersebut hanya bermula pada tarikh kuat kuasa akta, kata Perdana Menteri.

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertimbangan sewajarnya dan perbincangan lanjut telah dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap semua persoalan berbangkit berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti termasuk implikasi penggubalan peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan perkara ini kepada Ahli Dewan Rakyat.

 

Oleh yang demikian kata beliau, parameter gubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 – Pindaan Dalam Jawatankuasa di Dewan Rakyat ini ditetapkan, antaranya sebagaimana berikut:

 

  1. perundangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan Akta mulai tarikh kuat kuasa Akta;

 

  1. pendekatan satu langkah (one-step approach) dengan izin, diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti, iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan;

 

  1. Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat;

 

  1. keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan. Selain itu, keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party);

 

  1. keanggotaan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini adalah keahlian seorang Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik;

 

  1. penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti;

 

  1. mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi;


 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 


Mengenai keahlian Senator, Perdana Menteri berkata, pengecualian terhadap larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sebagaimana berikut:

 

  1. Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya;

 

  1. pelepasan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat; dan

 

  1. pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

 

Ismail Sabri menjelaskan undang-undang larangan melompat parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara, terutamanya disebabkan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

"Ssatu lagi faktor ialah Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh Negeri berdasarkan keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili parti politik masing-masing.

 

"Oleh yang demikian, peruntukan larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting isu perundangan ini di peringkat negeri selain memerlukan perundingan dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," ujar beliau.

 

Perdana Menteri berkata, Ahli Dewan Negara dan semua pihak yang berkepentingan sewajarnya dirundingi terlebih dahulu sebelum isu pemakaian undang-undang mengenai larangan bertukar parti ke atas Ahli Dewan Negara diputuskan.

 

" Dan sokongan Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik boleh memberi implikasi kepada perubahan Kerajaan dan kestabilan politik.

 

"Oleh itu adalah lebih wajar undang-undang mengenai larangan bertukar parti hanya terpakai ke atas Ahli Dewan Rakyat," kata Perdana Menteri semasa membentangkan Bacaan Kedua Rang Undang-Undang ini pada 27 Julai 2022 di Mesyuarat Kedua Penggal kelima Parlimen ke-14, hari ini.


 

parlimen

 


Perdana Menteri menegaskan dan mengulangi komitmen Kerajaan bahawa penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 ini bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.

 

"Pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

 

"Selain itu, saya yakin Rang Undang-Undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang," katanya. - DagangNews.com