Sin Chew Jit Poh persoal keupayaan Kerajaan Perpaduan urus ekonomi negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 26 June 2023

Sin Chew Jit Poh persoal keupayaan Kerajaan Perpaduan urus ekonomi negara

 

 

PENGURUSAN ekonomi kerajaan terdahulu lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan? Adakah keadaan ekonomi sekarang lebih lemah berbanding dulu? Persoalan yang sering ditanya dan isu yang selalu menjadi perdebatan netizen.

 

Perbandingan ekonomi setiap tahun

Kita boleh membandingkan nilai keluaran per kapita pada suku pertama setiap tahun.  Dari tahun 2020 hingga suku pertama 2022, nilai keluaran per kapita menunjukkan aliran menaik iaitu AS$2,447, AS$2,527 dan AS$2,631. Walau bagaimanapun, ia menurun sedikit kepada AS$2,601 pada suku pertama tahun 2023.

 

Dari segi inflasi, perbelanjaan pengguna yang lemah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021, purata kadar inflasi pada suku pertama hanya 0.9% dan 0.6%. Namun, inflasi meningkat kepada 2.2% pada 2022 dan tahun ini mencapai 3.6%.

 

Selain itu, purata kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS turut berubah pada suku pertama. Daripada RM4.20 pada 2020, RM4.02 (2021), RM4.19 (2022), dan tahun ini menyusut kepada RM4.38.


 

duit

 


Kadar pengangguran pula, data asas ekonomi menunjukkan sedikit peningkatan. Daripada 777,000 pada suku pertama 2021 dan 680, 000 pada suku pertama 2022 kepada 580,000 pada suku pertama tahun ini.

 

Keadaan ini mungkin boleh menjelaskan kempen kibarkan bendera putih sebelum ini. Walaupun keluaran per kapita meningkat, tetapi peningkatan pengangguran menyebabkan penerima manfaat berkurangan.

 

Secara ringkasnya, data di atas seolah-olah mengesahan bahawa selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih, prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun 2023 agak lemah.

 

Walau bagaimanapun, dalam masyarakat antarabangsa adalah tidak adil untuk menilai prestasi kerajaan hanya berdasarkan perubahan dalam data ekonomi domestik.

 

Adakah benar prestasi ekonomi negara kini lemah?

Pertama, keluaran per kapita dari segi ringgit sebenarnya meningkat pada suku pertama. Daripada RM100,531 pada 2020, RM100,503 (2021) RM110,061 (2022), dan RM110,471 pada tahun ini.

 

Oleh kerana kejatuhan nilai ringgit Malaysia adalah lebih besar daripada kadar pertumbuhan nilai keluaran per kapita, ia masih menunjukkan trend menurun di bawah kadar pertukaran dolar AS.

 

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit. Salah satu sebab yang sering disebut ialah pelebaran perbezaan kadar faedah.

 

Walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara jatuh ke paras terendah 1.75% pada tahun 2020 dan 2021 untuk menyokong ekonomi.


 

tnb

 


Tetapi pada masa yang sama, kadar faedah Rizab Persekutuan (FED) juga telah menurun kepada 0% hingga 0.25%. Perbezaan kadar faedah yang positif antara negara kita dan FED adalah salah satu sebab kenaikan ringgit pada suku pertama 2021.

 

Dan pada tahun 2022, permintaan meningkat apabila kebanyakan sektor ekonomi dibuka semua, konflik Rusia-Ukraine dan faktor geopolitik yang mengganggu rantaian bekalan. Akhirnya inflasi secara beransur-ansur menjadi kebimbangan utama ekonomi dunia.

 

Sebagai contoh, purata kadar inflasi di AS pada suku pertama 2022 adalah setinggi 8%. Menaikkan kadar faedah menjadi langkah balas yang diterima pakai oleh banyak ekonomi.

 

FED memutuskan untuk menaikkan kadar faedah secara mendadak daripada 0.25% kepada 5% pada suku pertama tahun ini.

 

Walaupun negara kita juga telah melaraskan OPR dengan sewajarnya dengan mengambil kira pelbagai faktor. Ini termasuklah sebahagian besar pinjaman negara adalah menggunakan kadar faedah terapung, dasar seperti subsidi dan kawalan harga bagi memastikan kadar inflasi dalam julat yang boleh dikawal.

 

Jadi kenaikan OPR adalah jauh lebih rendah daripada FED. Justeru itu, perbezaan ini sudah tentu memberi tekanan kepada nilai ringgit Malaysia.

 

Selain itu, hubungan perdagangan AS-China yang terus merosot; risiko geopolitik meningkat; pertumbuhan ekonomi China jauh lebih rendah daripada jangkaan; pertubuhan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia; faktor seperti kemungkinan berlaku krisis kewangan dan risiko kemungkiran hutang AS.

 

Semua faktor di atas membawa kepada kemungkinan ketidaktentuan dalam persekitaran antarabangsa. Oleh itu, pasaran antarabangsa telah meningkatkan permintaan untuk produk selamat, seperti menyokong dolar AS yang membawa kepada peningkatan nilainya.


 

tnb

 


Jaminan kerajaan tidak meyakinkan

Kita tidak dapat menafikan usaha Kerajaan Perpaduan yang telah berulang kali menegaskan kesediaan untuk mereformasikan ekonomi. Tapi selagi tiada dokumen matang yang dibentangkan, ini akan meningkatkan ketidaktentuan persekitaran pelaburan domestik.

 

Baru-baru ini, di beberapa kawasan dengan jelas menyatakan pembaharuan lessen untuk model perniagaan tertentu tidak dibenarkan lagi. Ini telah menimbulkan kebimbangan sama ada dasar tersebut akan meluas kepada industri dan kawasan lain.

 

Kedatangan Pilihan Raya Negeri (PRN) juga telah meningkatkan kemungkinan peralihan kuasa kerajaan negeri dan kuasa. Semua ini memperkukuhkan lagi ketidaktentuan pasaran domestik.

 

Selain itu, kadar inflasi yang kita biasa dahulu mungkin tidak sesuai untuk era baru ini. Salah satu faedah globalisasi ialah pengeluaran dipindahkan ke lokasi kos rendah melalui off-shoring. Sekali gus mengurangkan kos pengeluaran dan sebagai pengguna, kita dapat menikmati produk dengan harga lebih rendah.

 

Walau bagaimanapun, kesan rangkaian pengeluaran dan pengangkutan yang disebabkan oleh wabak pada tahun 2020 dan 2021, ditambah pula dengan peningkatan risiko geopolitik dan konflik. Ramai dalam kalangan politik dan perniagaan menyokong on-shoring, near-shoring atau sekurang-kurangnya friend-shoring.

 

Kos tidak lagi menjadi pertimbangan utama dalam keputusan pengeluaran. Tetapi peningkatan kos pengeluaran telah menyebabkan kadar inflasi yang tinggi dalam semua ekonomi, termasuklah negara kita.

 

Berbalik kepada masalah yang dinyatakan di atas, bagi memerangi inflasi, dasar menaikkan kadar faedah telah meningkatkan tekanan ke atas kadar pertukaran.

 

Sebagai contoh, walaupun FED menggantung kenaikan kadar faedah pada mesyuarat Jun, namun masih menyatakan terdapat kemungkinan untuk menaikkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini.


 

BNM

 


Jadi, faktor dalaman dan luaran ini sedang mempengaruhi prestasi ekonomi negara kita. Malah semua negara masih meneroka cara untuk menangani cabaran era baharu dengan berkesan.

 

Kita memerlukan masa untuk memastikan sama ada semua matlamat memerlukan penyelarasan dan ada dasar yang perlu disemak semula.

 

Kesimpulannya, sebelum membuat penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan, perlu mempertimbangkan sama ada prestasi ekonomi negara disebabkan oleh dasar kerajaan atau dipengaruhi oleh pelbagai perubahan situasi dalam dan luar negara. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 22 Jun 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags