Gambar suntikan vaksinasi oleh Photo by National Cancer Institute
Oleh ZARINA BEGUM EBRAHIM
MALAYSIA dijangka memasuki fasa endemik pada penghujung bulan Oktober ini. Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak kerajaan untuk menghentikan penularan wabak ini dari terus meningkat.
Usaha kerajaan menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam mempercepatkan pemberian vaksin terus merancak sehingga hampir kesemua negeri telah mencapai melebihi 40% dos vaksinasi lengkap.
Justeru kerajaan mengambil keputusan untuk membuka sektor ekonomi semula supaya kelangsungan hidup dapat diteruskan. Pelbagai kelonggaran telah diberikan supaya rakyat tidak terus hidup dalam keadaan tertekan.
Namun kelonggaran yang diberikan seperti disalah ertikan oleh segelintir rakyat Malaysia. Kelonggaran yang diberikan seolah-olah menjadi pas kebebasan tanpa sempadan kepada mereka.
Walaupun kelonggaran diberikan terutamanya kepada semua yang telah lengkap 2 dos vaksin namun ini tidak menjamin individu tersebut kebal daripada dijangkiti wabak ini.
Tidak dinafikan bahawa kita telah lama berkurung di rumah disebabkan kawalan pergerakan yang diperketatkan oleh pihak kerajaan. Rakyat harus ingat kelonggaran yang diberikan bukanlah bererti kita telah bebas dari wabak ini. Ia hanyalah untuk memastikan sektor ekonomi dapat terus berjalan.
Hujung minggu lalu menyaksikan berpuluh-puluh netizen didapati berkumpul di tepi pantai untuk melepaskan kebosanan selama hampir 3 bulan terkurung daripada melakukan aktiviti sosial. Kelonggaran diberikan kerajaan bagi tujuan berkelah dan perkhemahan membuatkan orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pantai.
Namun yang mengecewakan adalah mereka seperti tidak peduli akan bahaya yang menanti. Segelintir netizen di dapati tidak memakai pelitup muka sebagai pelindung diri. Faktor penjarakan fizikal langsung diendahkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyuarakan kebimbangan apabila mendapati orang ramai mula mengabaikan SOP yang ditetapkan ekoran kelonggaran SOP yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.
Dikhuatiri sikap tidak tanggungjawab segelintir netizen ini akan melonjakkan semula kes COVID di negara ini.
Kita seolah-olah tidak mengambil iktibar dari perkara yang lepas. Perlu diingat ketidakpatuhan rakyat dan pihak tertentu terhadap kawalan COVID-19 boleh mendatangkan risiko termasuk penutupan semula sektor ekonomi dan pendidikan. Kita tidak inginkan pisang berbuah dua kali.
Bercuti atau melakukan aktiviti sosial tidaklah salah tetapi bagaimana kita menjaga SOP adalah persoalannya. Semuanya bergantung kepada orang ramai. Sekiranya mereka tidak mematuhi SOP ada kemungkinan akan berlaku peningkatan kes dengan lebih drastik.
Rasionalnya, apabila semua orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kadar jangkitan mungkin tidak begitu menurun tetapi ia juga tidak akan meningkat dengan mendadak.
Tahun lalu, Malaysia mendapat pujian dari seluruh dunia apabila kita berjaya menurunkan kes COVID-19 dalam jangka waktu yang singkat. Namun kini pujian itu bertukar menjadi ejekan apabila wabak ini terus melonjak dengan mendadak hingga mengakibatkan kes kematian kepada 3 angka setiap hari.
Tidak dapat dinafikan bahawa titik permulaan lonjakan kes COVID-19 di Malaysia dapat dilihat menerusi keputusan kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang seterusnya mencetuskan gelombang baharu.
Bak kata pepatah melayu ku sangka hujan hingga ke petang rupanya panas di tengah hari.
Kini, Malaysia digelar sebagai “Mini India” oleh akhbar luar disebabkan kegagalan kita dalam menangani wabak ini dari terus menular.
Apa yang lebih membimbangkan situasi menjadi lebih parah dengan kemunculan mutasi baharu seperti varian Delta yang membolehkan kadar jangkitan berlaku dengan lebih pantas.
Varian Delta kini dominan di Malaysia terutamanya di kawasan Lembah Klang. Namun terdapat penurunan kes di Lembah Klang sejak kebelakangan ini. Ini dapat dilihat apabila statistik dari KKM menunjukkan 72.00% warga Lembah Klang telah lengkap 2 dos vaksinasi dan juga susulan dari kawalan pergerakan yang diperketatkan di kawasan tersebut.
Walaupun terdapat sedikit penurunan namun perlu di beri perhatian kes kematian tetap mencatatkan rekod yang tinggi. Pada 14 September 2021 mencatatkan sebanyak 463 kes kematian antara yang tertinggi setakat hari ini.
Dan jumlah kematian yang dilaporkan secara keseluruhan sehingga 20 September 2021 adalah seramai 23,744. Ini merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian yang serius.
Justeru disarankan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan dos vaksinasi yang lengkap agar kita mencapai sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Malaysia.
Sekiranya anda mendapati kawasan tersebut sesak beredarlah dari situ. Andai kata ada yang tidak mengikut SOP, tegurlah dengan cara yang berhemah. Kita harus mengambil langkah pencegahan ketika berada di tempat awam.
Langkah terbaik adalah rakyat perlulah mendisiplinkan diri walau di mana pun berada. Tanggungjawab dalam membendung penularan COVID-19 di negara kita adalah tanggung jawab bersama.
Menurut perspektif global pencegahan itu lebih baik dari pengubatan. Pilihan terletak pada tangan kita. Adakah kita ingin untuk terus berkurung di rumah? Renung-renungkanlah wahai rakyat Malaysia. - DagangNews.com
Zarina Begum Ebrahim adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Bandaraya Melaka