3 Petua Menjamin Kerjaya Perakaunan Anda | DagangNews Skip to main content

3 Petua Menjamin Kerjaya Perakaunan Anda

Oleh Izzat Aliyas, Alumni Program Kelayakan MICPA x CA ANZ

SEMASA usia kecil, saya sebenarnya ingin bekerja di atas kapal. Tapi, setelah saya menginjak dewasa, saya mendapati bahawa untuk mengoperasikan sebuah kapal, aspek kewangan juga perlu diberi perhatian yang sangat tinggi.

 

Saya dengan rasa gembira dapat menyatakan bahawa kerjaya perakaunan yang saya telah pilih ini merupakan keputusan yang tepat bagi saya, dan kini saya berpeluang untuk meneroka dengan lebih mendalam bagaimana perniagaan berfungsi di tanah air saya sendiri dan juga di persada antarabangsa.

 

Kerjaya perakaunan juga telah membentangkan pengalaman yang paling bernilai bagi saya. Saya memilih kerjaya ini kerana pelbagai kelebihan yang saya dapat terokai, ia termasuk peluang memajukan kerjaya, mobiliti geografi, serta permintaan yang kukuh ke atas akauntan berkemahiran tinggi.

 

Semua perniagaan memerlukan seorang akauntan yang kompeten, fasih dengan amalan piawaian antarabangsa, dan peka tentang keperluan pasaran tempatan. 

 

Setelah 4 tahun saya melibatkan diri dalam kerjaya ini dan bergelar sebagai Akauntan Raya Bertauliah, Malaysia, atau CPA (M), termasuk sebagai Akauntan Berkanun, Australia & New Zealand, atau CA (ANZ), saya dapat melihat bagaimana dunia sekarang sedang berubah dan bagaimana ia telah mencorak kemahiran yang diperlukan untuk menjamin kerjaya sebagai seorang akauntan.


 

Christchurch New Zealand

 


Berikut merupakan 3 petua untuk membantu anda memulakan kerjaya sebagai akauntan:

 

#1 Jadi “GLOKAL”

Istilah sedia “glokal” telah menjadi semakin relevan kini. “Glokal” atau “Glocal” dalam bahasa Inggeris menggandingkan istilah “global” dan “lokal”, lalu menonjolkan kepentingan kedua-dua elemen tersebut.

 

Dalam erti kata lain, ia bermaksud berfikir secara global, bertindak secara lokal. Penerapan mentaliti dan keupayaan glokal dalam perakaunan bermaksud kemampuan untuk menggabungkan kepakaran piawaian antarabangsa dengan syarat negara lokal.

 

Sebagai akauntan glokal, seorang individu dapat memahami secara langsung bagaimana inflasi, kos produk, kadar pertukaran dan aneka faktor lain mampu mempengaruhi prestasi dan kemampanan perniagaan dari sudut lokal dan antarabangsa.

 

Ia juga memberi anda perspektif yang lebih luas, justeru berfungsi sebagai satu kelebihan kerana anda dapat membekalkan rumusan-rumusan yang efektif bagi perniagaan dalam pasaran tempatan, dari perspektif global.

 

Tidak dapat disangkal, banyak perniagaan di Malaysia yang berhasrat untuk berkembang secara global atau memiliki pejabat global yang pastinya akan memerlukan pakar perakaunan berkeupayaan untuk membimbing mereka dalam bab melibatkan piawaian, undang-udang, dan syarat kawal selia lain dari sudut lokal dan antarabangsa.

 

Terdapat 11,123 buah perniagaan Malaysia yang berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) setakat 30 April 2022.  Angka ini memperlihatkan bahawa perniagaan tempatan berminat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pasaran antarabangsa.

 

Sebuah kelayakan yang menggandingkan konteks global dan lokal adalah satu keperluan. Program Kelayakan MICPA x CA ANZ yang saya telah jalani dirumus untuk memenuhi syarat antarabangsa, termasuk syarat dan konteks negara lokal.

 

Hasilnya, saya berasa lebih yakin semasa memohon kerja ekoran kelebihan pendidikan yang saya miliki berbanding pemohon lain. Saya telah menjalani peralihan kerja yang serba lancar semasa saya dipindahkan dari Malaysia ke Deloitte, New Zealand. 

 

Program pendidikan tersebut telah mempersiapkan saya untuk menjurusi kerjaya di peringkat antarabangsa. Paling utama sekali, segala gerak kerja saya juga tampak lebih jelas selepas menjalani program tersebut, biar di Malaysia mahupun di New Zealand.

 

Saya boleh katakan bahawa latihan yang saya jalani di Malaysia telah mempersiapkan saya untuk menjadi akauntan glokal yang berkaliber.


 

parafrasa

 


#2 Sentiasa Mengikuti Perkembangan Terkini

3 tahun yang lalu telah menjadi sebuah pengalaman yang agak mencabar, oleh kerana pandemik, inflasi, dan kini dengan kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi.

 

Sebagai seorang juruaudit dan akauntan profesional, saya menyemak dokumen perakaunan dari pelbagai organisasi dan dapat melihat bagaimana perniagaan sedang mengerahkan aneka strategi bagi menghadapi ancaman ekonomi.

 

Entiti-entiti perniagaan kini sedang memaling ke arah jabatan kewangan untuk memastikan mereka mematuhi piawaian perakaunan yang terkini berlatarkan ketidakstabilan ekonomi yang dihadapi baru-baru ini.

 

Untuk memformulasi strategi yang bersesuaian, pengalaman dan latihan yang tepat akan diperlukan. Saya masih ingat satu situasi di mana Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 mula diperkenalkan.

 

Saya sedang bekerja di Malaysia ketika itu dan tidak tahu apa-apa mengenainya. Mujurnya, Program Kelayakan MICPA x CA ANZ yang saya sedang tuntut pada waktu itu telah mengajar saya mengenai perkara tersebut, lalu ia telah menjadi ilmu yang berguna bagi saya di tempat kerja kerana saya dapat memanfaatkannya dengan serta-merta.

 

Selepas saya menjalani latihan program tersebut, saya mula menggandingkan amalan perakaunan Malaysia dengan piawaian antarabangsa dengan agak kerap, kerana sudut pandangan komparatif telah bantu menaik taraf mutu kerja saya selain membolehkan saya membuat penilaian dari pelbagai perspektif.

 

#3 Jadi Celik Teknologi & Data

Berlatarkan faktor-faktor geopolitik dan ekonomi global, pelbagai syarikat juga telah membuat pelaburan dalam skala yang besar ke atas teknologi sebagai langkah untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keefisienan operasi.

 

Perakaunan bukan lagi satu amalan kuno yang hanya melibatkan lembaran kertas kewangan. Kini, semuanya hadir dalam bentuk digital, dan kita haruslah memiliki keupayaan untuk mengoperasikan pelbagai platform yang tersedia bagi aktiviti penyimpanan rekod, penjajaran, dan pelbagai tujuan yang lain.

 

Pada hemat saya, perakaunan melibatkan keupayaan untuk menilai sebuah perniagaan dari dalam dan luar, serta membantu ia berkembang.

 

Aktiviti simpan kira (apa yang diajar di sekolah) adalah mustahak, tapi ia hanyalah sebahagian kecil daripada perkara yang anda harus ketahui, berlatarkan ledakan teknologi yang sedang menembusi kerjaya ini.

 

Mutakhir ini, analitik yang diterbitkan daripada data kewangan adalah kritikal bagi seorang pembuat keputusan. Bagaimanapun, bagi memahami cara untuk menganalisis data kewangan, individu berkenaan haruslah diberikan latihan yang betul.


 

parafrasa

 


Kelayakan profesional seperti Program Kelayakan MICPA x CA ANZ yang membekalkan ilmu lokal dan global dapat membantu penuntut menguasai kedua-dua dunia.

 

Dengan menjalani program tersebut, saya dapat mempelajari bagaimana syarikat antarabangsa dan tempatan menggunakan pendekatan berlainan untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan analitik data kewangan.

 

Ia juga termasuk keupayaan untuk mengenal pasti pelbagai corak dan memahami kos perniagaan apa yang perlu dikurangkan bagi membuka ruang untuk pelaburan, yang dapat meningkatkan lagi keefisienan perniagaan selain menjadikan perniagaan berkenaan lebih mampan dari sudut jangka panjang.

 

Di sini, pemilikan kelayakan perakaunan yang tepat dapat membolehkan graduan masa hadapan memahami amalan global yang boleh diterapkan di peringkat tempatan.

 

Industri perakaunan telah melalui transformasi yang begitu pesat, dan bukan mudah untuk mendepani arus perubahan ini.

 

Untuk menjadi seorang pakar perakaunan yang bergerak seiring dengan perubahan masa, anda perlu memberi tumpuan yang tinggi terhadap perkembangan industri, kemahiran, alatan teknologi, kelayakan, dan pemahaman untuk menjamin kerjaya perakaunan anda.

 

Program Kelayakan MICPA x CA ANZ persembahkan satu peluang bagi mereka yang ingin menjamin masa hadapan mereka sebagai seorang akauntan kerana ia menawarkan pengalaman pembelajaran serba transformatif yang dirumus khas untuk memenuhi keperluan yang relevan dan semasa dalam industri ini. - DagangNews.com

 

 

Izzat Aliyas kini merupakan Penolong Pengurus Audit di Deloitte (Christchurch) New Zealand, di mana beliau berurusan dengan hal ehwal audit melibatkan pelbagai syarikat dalam industri seperti peruncitan, minyak dan gas, serta perladangan. Beliau bergelar Akauntan Berkanun, Australia & New Zealand, atau CA, dan Akauntan Raya Bertauliah, Malaysia, atau CPA (M), rentetan keahlian beliau dalam MICPA dan juga CA ANZ (ANZ).