3 saranan jadikan industri pertahanan lebih terbuka dan berdaya saing | DagangNews Skip to main content

3 saranan jadikan industri pertahanan lebih terbuka dan berdaya saing

Oleh Md. Kassim

Surat Terbuka kepada YAB Perdana Menteri



Assalamualaikum wbt dan Salam Keluarga Malaysia YAB Perdana Menteri,

 

Semoga YAB Datuk Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Kesembilan, diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dilindungi Allah swt dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin nombor satu di Malaysia.

 

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri. Penahanan beberapa orang dari sebuah anak syarikat Boustead Holdings oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan untuk projek perolehan kapal Littoral Combat Ship atau kapal tempur persisir (LCS).

 

Projek LCS yang sepatutnya melihat TLDM menerima 6 buah kapal tempur bemula tahun 2019, telah diberhentikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan, ekoran siasatan pihak berkuasa ke atas penyelewengan kepada projek bernilai lebih RM9 billion itu.

 

Namun begitu, saya amat bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa, YB Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyatakan bahawa isu LCS masih belum selesai, walaupun SPRM kelihatan sudah mula mengambil tindakan.

 

Kerajaan Keluarga Malaysia bawah pimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi baik dalam projek LCS ataupun projek-projek perolehan lain dalam industri pertahanan.

 

Lagipun, Datuk Seri Ismail sendiri ketika menjawat jawatan Menteri Kanan Pertahanan yang telah memberi jaminan bahawa Kerajaan akan meneruskan projek LCS demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Nada yang sama turut  dimainkan oleh Menteri Kanan Pertahanan kini iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

 



Sememangnya, projek LCS ini perlu diteruskan kerana ia membawa manfaat yang cukup besar kepada sistem pertahanan negara. Namun, Kerajaan perlu bijak mengambil peluang ini dengan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan bukan sahaja projek ini dapat diteruskan untuk kepentingan negara, tetapi masalah-masalah yang dihadapi tidak berulang lagi.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Fakta-fakta skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk anda faham

 

 

Sebagai seorang yang terlibat dalam industri pertahanan, saya amat mengharapkan agar siasatan berkenaan isu LCS ini membuka mata para pemimpin dan pembuat dasar negara tentang perlunya perubahan menyuluruh sistem perolehan yang diguna pakai Kerajaan terutamanya yang menyentuh industri pertahanan.



 

Sebenarnya, industri pertahanan negara mempunyai peluang yang amat besar untuk berkembang sebagai industri utama yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia pasca pandemik COVID-19. Namun, sistem perolehan Kerajaan juga perlu ditambahbaik untuk memastikan industri ini dapat berkembang dengan terbuka dan sihat.

 

 

Saya ingin mencadangkan tiga perubahan yang boleh memastikan industri pertahanan negara menjadi lebih terbuka dan kompetitif.



1. Terlalu ramai pemain di dalam industri yang sekadar menjadi orang tengah atau broker projek. Ini perlu dihentikan. Untuk perolehan aset strategik, Kerajaan melalui entiti kerajaan  boleh berunding terus dengan pengeluar. Tidak perlu menggunakan broker atau orang tengah. Budaya orang tengah ini terlalu mudah untuk disalah guna untuk menghalalkan rasuah.



2. Untuk nilai projek yang besar, misalnya projek yang melebihi RM 1 billion, mekanisme pemantauan oleh badan independen perlu diwujudkan untuk memastikan projek berkos besar ini dapat dijalankan dengan telus dan lancar.  Ini amat penting untuk menggalakkan sistem semak-imbang yang berkesan dan memastikan KPI yang ditetapkan, dipatuhi sebaik mungkin.



3. Sistem pembayaran oleh Kerajaan dalam perolehan aset ketenteraan perlu berdasarkan tahap kesiapan dan bukan bergantung pada garis masa. Bayaran hanya dibuat apabila tahap kesiapan yang dipersetujui dalam garis masa pengurusan peojek dipenuhi. Misalnya apabila siap 30 peratus projek, 30 peratus bayaran akan dibuat oleh Kerajaan.

 

 

Industri pertahanan negara kini dilihat sebagai lubuk emas yang penuh kekotoran, dan cukup tidak berintegriti.



 

Saya percaya jika cadangan-cadangan ini diterima dan digunapakai Kerajaan, imej buruk industri pertahanan negara dapat dibaik pulih dan ini akan menjana pertumbuhan industri pertahanan negara yang seterusnya akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.



 

Apa yang lebih penting, Kerajaan perlu mengambil langkah yang berani. Saya merayu kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk tidak sia-siakan peluang keemasan ini untuk meletakkan industri pertahanan negara berada di landasan yang tepat.



 

Teruskan projek LCS, tapi tambah baik proses dan mekanisme supaya masalah yang sama tidak berulang.



 

Pastikan kapal-kapal ini siap dan boleh beroperasi secepat mungkin mengawal dan mempertahankan kedaulatan  perairan negara. Ini adalah masanya untuk YAB Perdana Menteri Dan Kerajaan Keluarga Malaysia menunjukkan bahawa anda semua faham akan kepentingan negara.



 

Memang negara sedang dalam ambang pemulihan dan banyak wang yang diperlukan untuk proses ini. Tetapi, fikirlah dengan berpandangan jauh dan  dengan mendalam. Kalau dihentikan projek ini, Kerajaan hanya akan menanggung kerugian serta pembaziran!

 

Apa pula yang akan terjadi dengan mereka yang berada dalam rantaian bekalan projek ini? Adakah mereka akan kehilangan mata pencarian dan gulung tikar? Apakah impak kepada kebajikan dan moral warga ATM?  Bagaimana pula dengan keselamatan negara?



 

Sesungguhnya, tiada harga dan nilai yang boleh diletakkan kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Gunakanlah kuasa yang ada dengan bijak. Jadilah Perdana Menteri yang berfikiran jauh dan meletakkan kedaulatan dan keselamatan negara di atas sekali dalam apa jua pertimbangan. - DagangNews.com

 

Salam hormat,
Hj. Md. Kassim