5 perkara penting sektor automotif negara pada 4Q20 | DagangNews Skip to main content

5 perkara penting sektor automotif negara pada 4Q20

Proton X-50

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Suku keempat 2020 berkemungkinan menjadi tempoh penting dalam sektor automotif negara.

Berikut merupakan lima perkara penting yang digariskan Maybank IB Research;


 

1) Pelancaran Proton SUV X-50 

Proton dijangka melancarkan model X-50 pada Oktober 2020.

Meskipun belum dilancarkan secara rasmi, model berkenaan telah menerima pesanan yang sangat menakjubkan.

Hingga kini, X-50 telah menerima tempahan  melebihi 20,000 unit sejak mula dilancarkan pada 16 September lalu.

 

SUV X-50
SUV X-50 

 

Bagaimanapun, harga model berkenaan belum dikeluarkan secara rasmi.

Menyentuh jumlah penjualan, Proton secara komulatifnya telah melepasi penjualan tahun lalu sejak Ogos dengan jualan sebanyak 73,607 unit untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Jumlah tersebut bertambah 5% berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 69,920 unit.


 

2) Potongan harga Perodua untuk memenuhi sasaran 210,000 unit jualan

Oktober menjadi tempoh produktif bagi kebanyakan penggerak sektor automotif.

Bagi segmen automotif nasional, Perodua terus melakar pertumbuhan jualan kenderaan bulan ke bulan yang tinggi.

 

Antara model kenderaan Perodua.

Bagi Oktober 2020, Perodua mencatatkan jualan 25,035 unit dengan peningkatan 11% berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan jumlah jualan secara bulanan tertinggi dalam sejarah 26 tahun Perodua.

Kesemua jumlah tersebut menjadikan jumlah penjualan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 Perodua adalah sebanyak 145,012 unit, berkurang 19% berbanding tahun lalu.

Perodua mengekalkan sasaran jualan sebanyak 210,000 unit kenderaan bagi tahun 2020.

Myvi 1.5L H-variant
Myvi 1.5L H-variant 

 

Meskipun melambatkan jangkaan pelancaran B-segment SUV crossover (D55L) hingga 2021, Perodua secara agresif memberi penekanan jualan terhadap model varian H Myvi 1.5L dengan tawaran rebat lebih daripada RM1,000 kepada pelanggan.

 

 

3) Sasaran jualan Toyota dinaikkan kepada 53,000 unit 

Toyota menaikkan sasaran jumlah jualan sebanyak 17% kepada 53,000 unit kenderaannya bagi tahun 2020.

Jumlah sasaran baharu itu seiring dengan sasaran yang diletakkan oleh Maybank IB Research iaitu 53,600 unit.

Toyota Yaris
Toyota Yaris

 

Sasaran yang diletakkan oleh Toyota itu ditingkatkan berbanding sasaran sebelumnya iaitu 45,000 unit kenderaan.

Perkara itu dinilai dengan sokongan jualan untuk model Vios, Yaris dan Hilux yang semakin popular.

 

 

4) Perjanjian M&A Naza bersama BAuto, Sime Darby dan Berjaya Group

Kumpulan Naza membuat perjanjian penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dengan perancangan untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pengedar Kia dan Peugeot di negara ini.

Maybank IB Research berkata, beberapa pemain industri automotif juga telah membuat penilaian terhadap  jenama berkenaan.

 

Peugeot
Peugeot

 

BAuto menjadi syarikat yang sering disebut-sebut sebagai peminat utama.

Berjaya Group dan Sime Darby Group turut menunjukkan minat terhadap perjajian berkenaan.


 

 

5) Pengecualian SST dijangka berterusan hingga 2021


Pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berakhir pada Disember 2020 dijangka akan dilanjutkan selama tiga hingga enam bulan lagi.

Maybank IB Research berkata, perkara itu dinilai berdasarkan perbincangan pasaran akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat peningkatan kes COVID-19.

Jelas Maybank IB Research, pihaknya melihat perkara tersebut dengan pandangan positif kerana mampu mendorong peningkatan jualan kenderaan. - DagangNews.com