6.4 juta penduduk selesai Banci 2020 dalam talian - Mustapa | DagangNews Skip to main content

6.4 juta penduduk selesai Banci 2020 dalam talian - Mustapa

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Setakat 6 Disember 2020, 6.4 juta penduduk atau 19.7% daripada anggaran jumlah penduduk sebanyak 32.7 juta telah selesai melaksanakan Banci 2020 secara dalam talian. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pencapaian ini dijangka meningkat 1.34 juta orang setelah 334,224 isi rumah yang telah mendaftar melengkapkan butiran mereka dalam e-Census Banci 2020. 

 

Katanya, peratusan respons penduduk daripada seluruh negara yang terbaik adalah di Putrajaya sebanyak 79.9%, diikuti Perak (28.9%), Johor (28%) dan Pulau Pinang (25.6%).

 

"Mengikut perancangan Banci 2020, sasaran Banci yang dilaksanakan secara dalam talian atau e-Census adalah sebanyak 30% menjelang 21 Disember 2020," jelasnya. 

 

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) mengenai jumlah isi rumah dan peratusan yang telah melengkapkan butiran mereka dalam laman web banci penduduk 2020 buat masa ini dan sasaran peratusan banci atas talian yang ingin dicapai oleh Jabatan Perangkaan kali ini. 

 

Mustapa berkata, Banci 2020 dilaksanakan secara 2 fasa yang mana pada asalnya, tempoh fasa pertama adalah 7 Julai hingga 30 September dan tempoh fasa kedua adalah 7 hingga 24 Oktober 2020.

 

Namun, tempoh pelaksanaan Banci 2020 telah dijadualkan semula iaitu Fasa Pertama secara dalam talian telah dilanjutkan sehingga 21 Disember 2020 dan Fasa Kedua secara bersemuka pada 20 Januari hingga 6 Februari 2021 berikutan dengan pandemik COVID-19.

 

"Bancian Fasa 1 masih berbaki 13 hari sebelum ke fasa 2. Dengan itu, jumlah respon yang perlu diperoleh sehari sebanyak 260,000 sehari," katanya. 

 

Menurut beliau, bagi meningkatkan respons e-Census pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuklah Klinik e-Census secara bersemuka dan sehingga kini sebanyak 1,698 klinik telah diadakan di seluruh Malaysia. 

 

"Dalam masa sama, e-Census Hour dan e-Census Day secara dalam talian telah dilaksanakan bagi membantu responden untuk mengisi eCensus. 

 

"Program ini dilaksanakan di kementerian, jabatan, agensi dan institut pengajian tinggi untuk meningkatkan respon e-Census dalam kalangan penjawat awam," jelasnya. 

 

Bagi mempertingkatkan pungutan data, katanya, daripada 11,254 responden kepada 530,964 menggunakan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) terutama di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). - DagangNews.com