99 Speed Mart lancar IPO terbesar di Malaysia sejak 2017, jangka kumpul sehingga RM2.3 bilion | DagangNews Skip to main content

99 Speed Mart lancar IPO terbesar di Malaysia sejak 2017, jangka kumpul sehingga RM2.3 bilion

Lee Thiam Wah (tiga dari kiri) dan Chu Kok Wei (empat dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus 99 Speedmart di Shah Alam 15 Ogos 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Ogos - 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Malaysia sejak Julai 2017, yang dijangka mengumpul sehingga RM2.3 bilion untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Menurut prospektus rasmi, IPO ini ditetapkan pada harga RM1.65 sesaham dengan syarikat telah mula menerima tempahan daripada pelabur runcit dan institusi. 

 

Tawaran runcit akan ditutup pada 23 Ogos 2024, manakala bahagian institusi akan berakhir pada 27 Ogos 2024. Penyenaraian pula dijadualkan pada 9 September 2024.

 

 

Sekiranya berjaya, IPO ini akan mengumpul dana paling banyak di Bursa Malaysia sejak Julai 2017, apabila Lotte Chemical Titan Holding Bhd  mengumpul RM3.77 bilion.

 

Pada masa ini, 99 Speed Mart mempunyai lebih daripada 2,600 cawangan pasar mini di Malaysia yang menjual pelbagai barangan keperluan pengguna.

 

Pengurusan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan cawangan kepada 3,000 buah menjelang akhir 2025.

 

IPO 99 Speed Mart melibatkan tawaran penjualan 1.028 bilion saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 400 juta saham baru. Bahagian institusi merangkumi 1.22 bilion saham melalui penetapan harga buku, manakala 210 juta saham diperuntukkan kepada pelabur runcit.

 

Terbitan awam dijangka mengumpul sehingga RM660 juta. Sebanyak 58.9% atau RM389 juta, akan digunakan untuk mengembangkan cawangan baharu 99 Speedmart dan RM100 juta, atau 15.2% untuk menubuhkan pusat pengedaran baharu.

 

99 Speedmart akan memperuntukkan 8.3% (RM55 juta) daripada jumlah hasil untuk membeli trak penghantaran dan 7.2% lagi atau RM47.6 juta untuk menaik taraf cawangan sedia ada.

 

Terakhir, RM45 juta akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman sedia ada Kumpulan, manakala baki RM23.4 juta akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian.

 

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 8,400 juta saham dan harga IPO RM1.65 setiap saham, permodalan pasaran yang dijangka adalah RM13.9 bilion, yang dianggarkan menjadi IPO terbesar di Malaysia sejak 2017. 

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah berkata, pelancaran prospektus IPO ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat. 

 

"Selama bertahun-tahun, kami telah mewujudkan asas yang kukuh dengan rangkaian luas pasar mini kami, yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 1.1 juta pelanggan setiap hari di seluruh negara berdasarkan transaksi jualan yang direkodkan dalam tahun kewangan yang berakhir pada 2023. 

 

"IPO ini akan memberikan kami dana yang diperlukan untuk meluaskan jangkauan kami dan meningkatkan operasi kami.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 99 Holdings meterai perjanjian taja jamin bersama tiga bank pelaburan bagi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

"Kami teruja untuk memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan korporat kami, memperkukuh pengiktirafan jenama kami dan tagline kami “Near n’ Save”, yang menekankan kemudahan dan akses mudah untuk pelanggan kami, menjimatkan masa dan wang mereka,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Borong CIMB, Chu Kok Wei, berkata, transaksi ini, sebagai IPO terbesar sejak 2017 dari segi permodalan  pasaran dan saiz transaksi IPO, menunjukkan kesihatan dan kecergasan berterusan pasaran modal ekuiti di Malaysia. 

 

"CIMB berbesar hati telah memainkan peranan penting dalam membawa nama jenama terkenal seperti 99 Holdings ke pasaran, yang telah menyaksikan kenaikan luar biasa untuk menjadi pengendali rangkaian pasar mini terbesar yang ditubuhkan di Malaysia. Kami berharap dapat meneruskan kerjasama kami dengan 99 Holdings semasa mereka melangkah ke babak baru yang menarik dalam cerita pertumbuhan mereka,” ujarnya.

 

CIMB Investment Bank Berhad adalah Penasihat Utama, Pengurus Buku Tunggal, Penjamin Penerbitan Tunggal, dan Penjamin Bersama untuk proses IPO ini, manakala Affin Hwang Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad adalah Penjamin Bersama yang lain untuk proses IPO ini.

 

Bahagian terbitan awam IPO akan tersedia untuk langganan mulai hari ini dan permohonan akan ditutup pada pukul 5.00 petang pada 23 Ogos 2024. - DagangNews.com