AEON mampu depani cabaran getir pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

AEON mampu depani cabaran getir pandemik COVID-19

AEON Co. (M) Bhd. (AEON)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat peneraju peruncitan, AEON Co. (M) Bhd. (AEON) mampu menyesuaikan rentak perniagaan untuk terus berdaya tahan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP akibat wabak COVID-19.

 

Perkara itu dinilai berdasarkan prestasi kewangan yang tidak menunjukkan penurunan dalam jumlah yang besar pada tahun 2020.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, prestasi yang dicapai pihaknya sepanjang tempoh mencabar itu adalah memuaskan.

 

"Sebagai contoh, kami telah capai hasil jualan runcit sebanyak dalam RM4.5 bilion sepanjang tahun 2020. Dan jumlah ini menyusut -11% berbanding 2019.

 

"Dengan mengambil kira penutupan perniagaan 'non-essential' dalam tempoh PKP 1.0 (46 hari), PKP 2.0 (27 hari) dan PKP 3.0 (28 hari), kami percaya bahawa hasil jualan yang susut sebanyak -11% adalah memuaskan.

 

"Kita juga telah menunjukkan ‘outperform’ dalam pasaran kerana pasaran pada tahun 2020 adalah -16.3% dan prestasi kita adalah sebanyak -11%. Kami lihat ini sebagai satu perkara yang positif dan menunjukkan bahawa AEON mampu untuk menyesuaikan perniagaan dengan keadaan sekarang," jelas beliau.

 

 Shafie Shamsuddin (atas, dua dari kiri) ketika mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-36 hari ini.
Shafie Shamsuddin (atas, dua dari kiri) bersama para pemegang saham lain ketika mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-36 hari ini.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-36 hari ini.

 

Bagi rekod, AEON mencatatkan penyusutan perolehan sebanyak 10.8% kepada RM4.051 bilion bagi tahun kewangan 2020 (FY20).

 

Jumlah berkenaan adalah lebih rendah berbanding RM4.539 bilion yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2019.

 

Dalam pada itu, AEON turut mencatatkan penurunan sebanyak 27.7% tahun ke tahun kepada RM259.3 juta dalam jumlah keuntungan operasi syarikat.

 

.

 

Jumlah yang dicatatkan itu lebih rendah berbanding RM358.7 juta yang berjaya dicapai pada tahun sebelumnya.

 

Bagi tahun kewangan sama, segmen peruncitan dan perkhidmatan pengurusan harta AEON turut mengalami penyusutan.

 

Segmen peruncitan menyaksikan jumlah perolehan sebanyak RM3.445 bilion (FY20), berbanding RM3.832 bilion bagi tahun kewangan 2019.

 

Sementara itu, segmen perkhidmatan pengurusan harta pula susut kepada RM606.6 juta berbanding RM706.6 pada tahun kewangan 2019.

 

Mengulas prestasi perniagaan AEON, beliau memberitahu, perbelanjaan operasi AEON juga mampu disesuaikan mengikut pasaran semasa.

.

 

Menurut beliau, pihaknya berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi sebanyak RM180 juta pada 2020, iaitu 12% daripada perbelanjaan operasi operasi pada 2019.

 

Jumlah pengurangan berkenaan dianggarkan sebanyak RM15 juta sebulan.

 

"Kita telah menngenalpasti sebab mengapa perbelanjaan operasi ini dapat dikurangkan, ianya kerana 61% daripada jumlah keseluruhan adalah ‘sustainable’. 

 

"Ini bermakna kita boleh berterusan untuk mengekalkan pengurangan ini dan ianya datang daripada bidang pemasaran dan perkhidmatan penyelenggaraan. 

 

"Dua bahagian ini adalah apa yang kami lihat untuk mengukur prestasi suku pertama tahun 2021 di mana perbelanjaan operasi terus dikurangkan. Pengurangan sebanyak RM66 milion pada suku pertama tahun 2021 jika dibandingkan dengan suku pertama tahun 2020," katanya lagi.

 

Dalam sidang media sama, beliau turut meletakkan peruntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM251 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Menurutnya, 40% daripada jumlah berkenaan akan diperuntukkan untuk mengukuhkan lagi aspek teknologi dan infrastruktur IT syarikat.

 

Baki capex tersebut akan digunakan bagi tujuan pengubahsuaian, penyelenggaraan dan pembentukan semula gedung jualan. - DagangNews.com