ISU hujan lebat luar biasa yang mengakibatkan banjir kilat besar luar biasa berlaku di kawasan bandar akhir-akhir ini menjadi keprihatinan khususnya daripada penduduk di Kuala Lumpur.
Bahkan kejadian banjir buruk juga dialami di Terengganu, Selangor, Johor dan Kelantan tidak berapa lama dahulu. Persoalan timbul berhubung kejadian hujan di luar musim dan banjir luar biasa ini, adakah ia dikaitkan dengan isu perubahan iklim.
Di negara Barat kejadian banjir dan musim kemarau yang luar biasa telah diakui dan sudah diterima hakikat bahawa ia dikaitkan dengan perubahan iklim.
Berbanding dengan negara kita, kesedaran isu perubahan iklim dan kesan langsung kepada bencana alam masih tidak begitu meluas seolah-olah rakyat tidak nampak perkaitannya.
Ini juga kerana liputan media masih memandang isu banjir sebagai isu terpencil dan tidak menanggapinya sebagai isu yang ada sebab akibatnya daripada perubahan iklim yang berlaku di serata dunia sekarang. Ini mungkin juga bagi mengelakkan panik dalam kalangan rakyat.
Bahkan di Barat, isu perubahan iklim bukan lagi terbatas kepada mengemukakan impak langsung kepada kejadian bencana alam tetapi hendak dikaitkan dengan isu perdagangan pula. Ini adakah sesuatu yang mengejutkan juga.
Ini kerana kebanyakan Negara Sedang Membangun (NSM) sedang bergelut untuk memahami fenomena ini sebaliknya negara-negara Barat mempunyai rancangan lain pula.
Berikutan inisiatif plurilateral (perbincangan berbilang hala) melalui Dialog Perdagangan dan Struktur Kemapanan Alam Sekitar atau dikenali sebagai TESSD (Trade and Environmental Sustainability Structured Discussions), negara-negara Barat mencadangkan isu perubahan iklim dikaitkan dengan perdagangan.
Laporan terkini daripada Third World Economics (16-28 Februari 2022) menyatakan terdapat usaha-usaha Kesatuan Eropah (EU) dan kalangan negara maju lain bersama beberapa NSM mahu mewujudkan mandat baharu dalam “mempersenjatai” isu perubahan iklim untuk dikaitkan dengan perdagangan.
Kumpulan ini sedang mencari rasional-rasional bagi memasukkan isu perubahan iklim supaya dijadikan peraturan perdagangan baharu di peringkat antarabangsa di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Sebelum ini isu-isu hak-hak milik intelektual (TRIPs atau Trade-Related Intellectual Properties Rights), isu bidang perkhidmatan (Trade in Services atau TISs) dan isu pelaburan (Trade-related Investment Measures atau TRIMs) telah dimasukkan sebagai agenda dalam peraturan WTO di mana semua negara anggota harus mematuhi peraturan ini.
Misalnya Malaysia sebagai persediaan pematuhan agenda TISs telah mengambil langkah menggabungkan bank-bank tempatan menjadi beberapa konsortium bank besar. Ia adalah untuk berhadapan dengan kemasukan bank-bank Barat ke negara kita. Ini kerana Malaysia perlukan pengukuhan melalui penubuhan konsortium bank apabila bank-bank Barat seperti Citibank misalnya membuka banyak cawangan di negara kita.
Rundingan yang diadakan pada 7 Februari 2022 disertai beberapa taruhan-taruhan penting di peringkat antarabangsa dalam TESSD termasuk Dewan-dewan Perniagaan Antarabangsa, Pertubuhan Kastam Sedunia, Forum Ekonomi Dunia dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Daripada apa yang diperhatikan, cadangan memasukan isu perubahan iklim untuk dijadikan peraturan perdagangan WTO yang dimandatkan datang daripada negara anggota EU dan negara Barat lain. Apa yang pelik cadangan tersebut tidak pernah dibincang dan dibentangkan di rundingan Agenda Pembangunan Doha sidang WTO.
Dalam inisiatif TESSD ini, perwakilan dari United Kingdom (UK) misalnya telah mengutarakan isu berkaitan dalam dialog perhutanan, pertanian dan perdagangan komoditi atau dikenali Forest, Agricuture, Comodity and Trade (FACT).
Bahkan pada 2 Februari lepas, UK telah menyerahkan kertas perbincangan di mesyuarat Jawatankuasa mengenai Perdagangan dan Perhutanan (CTE) dan dengan hasrat dibawa ke dialog FACT yang telah diwujudkan menerusi COP26 (pihak-pihak terlibat dalam persidangan) yang diadakan Glasgow pada persidangan perubahan iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hujung tahun lepas.
Ia menyoal bagaimana perhutanan dan rantaian komoditi hasil pertanian dapat membantu kemapanan alam sekitar.
Laporan Third World Economics menambah wakil UK berpendapat adalah penting menggabungkan dasar alam sekitar dengan dasar perdagangan kerana ia dapat membantu ekonomi dan pada masa yang sama melindungi hutan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan, mengurangkan kos kepada pengeluar dan pengguna, mengurangkan aliran perdagangan yang mudah terdedah kepada perubahan iklim dan mengurangkan impak penggunaan tanah mengikut sektor pertanian.
Faktor-faktor yang dikemukakan tentu akan menjejaskan eksport NSM seperti Malaysia. Dengan pelaksanaan akta dan peraturan seperti strategi Farm-to-Fork, Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) dan dasar EU mengenai hutan dan penebangan hutan, ia akan menyulitkan sektor perladangan tempatan dalam mengeksport minyak sawit.
Pada Februari 2021, syarikat pengeluar makanan AS, General Mills mengeluarkan arahan 'tiada tempahan pembelian' terhadap FGV Holdings Bhd. dan Sime Darby Plantations Bhd. yang mana kedua-syarikat ini turut berdepan dengan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa pada tahun lalu.
Sektor minyak sawit negara masih dibayangi persepsi salah seperti digambarkan organisasi antarabangsa yang memburukkan minyak sawit berbanding pesaing minyak lain, sekali gus menjejaskan reputasi industri ini.
Peranan ICC dan WCO seolah-olah ingin memberikan sokongan dan pengesahan kepada inisiatif TESSD untuk dibentang di mesyuarat WTO. Bahkan ICC telah membentangkan laporan bertajuk “Sistem Perdagangan Antarabangsa dan Ekonomi Sekular: Saranan untuk Tindakan dalam WTO.
ICC, WCO mahukan inisiatif TESSD dimasukkan secara rasmi dalam Persidangan Kementerian ke-12 WTO (CP12) dengan membentuk kumpulan rujukan yang terdiri daripada delegasi WTO, rangkaian-rangkaian perniagaan dan organisasi antara kerajaan.
Negara anggota WTO yang menangguhkan CP12 pada 23 Februari lepas akan mengadakan mesyuarat pada 13 Jun di Geneva.
Kesungguhan negara Barat dan NGO-NGO membawa isu ini ke meja rundingan WTO seolah-olah mahukan isu perubahan iklim sebagai “senjata perdagangan baharu” untuk memaksa NSM mengikut telunjuk mereka dalam isu perubahan iklim.
Untuk rekod isu perubahan iklim ini bukanlah sebahagian daripada mandat Doha dan WTO adalah badan perdagangan antarabangsa dan tidak sesuai untuk bertindak sebagai organisasi yang menangani cabaran-cabaran isu alam sekitar.
WTO seharusnya menangani isu perdagangan antarabangsa dan tidak perlu campur tangan dalam isu bukan perdagangan.
Sebagai contoh dalam isu perubahan iklim, penyelesaiannya seharusnya ditangani oleh Rangka Kerja Persidangan PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCC), sebuah badan penyelaras yang ditubuhkan daripada Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim.
Bahkan laporan Perdagangan dan Pembangunan (TDR) dalam Persidangan Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) pada tahun lepas menyatakan peraturan perdagangan antarabangsa perlu dipisahkan daripada isu perubahan iklim.
Malah TDR beralasan bahawa walaupun perubahan iklim kekal sebagai keutamaan untuk NSM, emisi gas rumah hijau dalam barangan dan perkhidmatan kaitan dengan perdagangan hanyalah merangkumi 27 peratus daripada emisi rumah hijau.
Ini menunjukkan negara-negara Barat tidak mempunyai alasan kuat hendak mengaitkan dasar perdagangan antarabangsa kepada agenda pertumbuhan hijau.
TDR melaporkan bahawa peraturan perdagangan antarabangsa harus dibangunkan dalam cara di mana negara sedang membangun dapat merangka dasar yang bersesuaian dengan perubahan iklim dengan undang-undang yang tegas kepada pesalah produk berkaitan alam sekitar.
Kita bimbang juga negara-negara Barat tidak akan berputus asa menekan WTO dan mengugut NSM dengan tindakan menaikkan tarif import dan sekatan perdagangan lain supaya wakil perdagangan NSM menerima cadangan mereka melalui inisiatif TESSD dan dimasukkan ke dalam mesyuarat CP12 nanti.
Sebelum ini mereka telah berjaya mengaitkan isu perkhidmatan, hak milik intelektual (yang menyukarkan NSM mendapatkan vaksin C19 kerana isu paten) dan pelaburan untuk dikaitkan dengan perdagangan hinggakan mendiang Chakravarthi Raghavan, seorang wartawan dalam bidang perdagangan antarabangsa pernah berkata isu kaitan dengan perdagangan adalah suatu bentuk penjajahan baharu negara Barat ke atas NSM.
Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian harus peka dengan situasi ini dan memainkan peranan aktif di persidangan antarabangsa WTO atau C12 dalam menyuarakan hasrat Barat menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara seperti Malaysia. – DagangNews.com