Agricore terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Agricore terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Pembekal bahan makanan, Agricore CS Holdings Bhd menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu akan melibatkan terbitan 51.7 juta saham baharu, mewakili 25.5% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan selepas penyenaraian.

 

Sejumlah 10.1 juta saham baharu akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian dan 10.1 juta saham akan disalurkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan di bawah peruntukan borang merah jambu.

 

Sementara itu, 25.4 juta saham baharu dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala baki 6.1 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Kumpulan Agricore terlibat dalam penyediaan sumber dan pengedaran bahan makanan berasaskan tumbuhan, serta pengeluaran dan penjualan bahan tambahan  dan bawang goreng.

 

agricore
Oon Boon Khong

 

Pengarah Urusan Agricore, Oon Boon Khong berkata, IPO membolehkan syarikat memiliki kemudahan dari segi kewangan bagi mengejar peluang pertumbuhan masa hadapan dan pada masa sama meningkatkan reputasinya dalam memasarkan produk.

 

Pada masa sama, beliau berkata, ia akan membantu kumpulan mengekalkan pekerja dan menarik pekerja baharu.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 2022 (FY22), kumpulan Agricore mencatatkan untung bersih sebanyak RM7.12 juta, dengan hasil sebanyak RM122.69 juta.

 

Agricore dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Jun 2024.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com