airasia grocer, NGO perkenal insiatif 'BANTU Farm' pupuk minat belia dalam sektor pertanian | DagangNews Skip to main content

airasia grocer, NGO perkenal insiatif 'BANTU Farm' pupuk minat belia dalam sektor pertanian

(Dari kiri) Pengetua Kampus REAL Schools Cheras, Cheli Tamilselvam, Datuk Chan Foong Hin, Lalitha Sivanaser dan Anas Amdan ketika majlis pelancaran BANTU Farm di REAL Schools Cheras, Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - airasia grocer, platform peruncitan dalam talian dan BANTU Heroes, platform pengagihan makanan bekerjasama melancarkan 'BANTU Farm' bagi memupuk minat golongan belia dalam sektor pertanian. 

 

Projek BANTU Farm bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pertanian urban dalam kalangan belia sebagai tanda usaha untuk memastikan keterjaminan makanan. 

 

Selaras dengan komitmen untuk menyokong usaha kerajaan, ia berhasrat untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan pertanian lestari dalam kalangan pelajar dengan mengintegrasikan pertanian ke dalam kurikulum sekolah.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pihaknya berbesar hati melihat sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan seperti airasia grocer dan BANTU Heroes menyokong secara berterusan inisiatif kementerian.

 

Katanya, ia menyerlahkan kaedah pertanian moden dan hijau yang akan melonjakkan Malaysia ke tahap baharu dalam keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang. 

 

"Saya percaya perkongsian ini akan memainkan peranan penting dalam memajukan inisiatif kami untuk sektor pertanian yang berdaya tahan dan makmur di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif airasia grocer, Lalitha Sivanaser berkata, pihaknya sangat teruja untuk memulakan usaha perintis itu dalam bekerjasama rapat dengan BANTU Heroes. 

 

 

airasia

 

 

"Menyemai kesedaran pertanian, terutamanya pada usia muda adalah sesuatu yang kita minati. 

 

"Kami yakin melalui pendidikan yang betul dan sistem sokongan yang berterusan, kami dapat memulihkan minat dalam pertanian dalam kalangan belia, akhirnya memberi kesan positif kepada kehidupan komuniti muda kami," katanya.

 

Pengasas BANTU Heroes, Anas Amdan pula berkata, pihaknya teruja untuk berganding bahu dengan peniaga airasia grocer untuk memperkenalkan BANTU Farm. 

 

"Visi bersama kami untuk pertanian bandar mampan sejajar dengan inisiatif kementerian, dan bersama-sama kami berhasrat untuk membina komuniti muda yang memastikan akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada setiap masa," katanya.

 

airasia grocer (dahulunya airasia farm) dilancarkan pada Jun 2020 sebagai platform e-dagang perniagaan ke perniagaan (B2B) untuk membolehkan petani berhubung terus kepada perniagaan dengan menghapuskan orang tengah, menyediakan sokongan logistik dan meluaskan jangkauan pasaran. - DagangNews.com