AmInvest semak naik nilai wajar YTL Power kepada RM6.25 sesaham, potensi pendapatan pusat data | DagangNews Skip to main content

AmInvest semak naik nilai wajar YTL Power kepada RM6.25 sesaham, potensi pendapatan pusat data

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Am Investment Bank (AmInvest) mengekalkan saranan 'Beli' saham YTL Power International dengan nilai wajar dinaikkan daripada RM5.10 kepada RM6.25 sesaham yang mencerminkan potensi pendapatan daripada pusat data.

 

Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih dijangka meningkat didorong oleh bahagian kecerdasan buatan (AI) Pusat data 1 Johor. 

 

"Prospek YTL Power adalah positif, dengan pertumbuhan dijangka daripada pusat data dan pendapatan stabil daripada YTL Power Seraya di Singapura.

 

"Kelebihan YTL Power berbanding pesaing terletak dalam kerjasama dengan Nvidia dan kos tanah serta tenaga yang rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: YTL Power guna superkomputer AI termaju Nvidia di pusat data Johor

 

AmInvest meningkatkan jangkaan keuntungan bersih YTL Power pada FY26 sebanyak 27%selepas mengambil kira pendapatan dari bahagian pusat data AI 1 Johor. 

 

"Kami percaya bahawa FY26F adalah gambaran yang lebih baik tentang potensi pendapatan pusat data kerana akan ada kesan sepanjang tahun ke atas pusat data AI 100MW di Johor. 

 

"Pusat data AI dijangka mula beroperasi pada akhir FY24F. Kami berpendapat bahawa keuntungan bersih bagi bahagian pusat data AI Johor 100MW berpotensi melebihi RM1 bilion setahun," jelasnya.

 

data
Taman Pusat Data YTL Johor. 

 

Sementara itu, AmInvest berkata, keuntungan bersih bagi bahagian pusat data bukan-AI tidak dijangka sebesar DC AI. 

 

"Kami menganggarkan keuntungan bersih sebanyak RM5.3 juta untuk DC Sentul dan RM16.8 juta untuk DC Johor. 

 

"Ini mengandaikan yuran sebanyak RM1,750/bulan untuk 500 rak bagi DC Sentul dan 1,600 rak bagi DC Johor. 

 

"Yuran sebanyak RM1,750/bulan adalah berdasarkan yuran pengendali pusat data untuk Rak 21U di Cyberjaya dan Kuala Lumpur," ujarnya.- DagangNews.com