KUALA LUMPUR 8 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4% bagi 2023 dan 4.5% pada 2024.
Katanya, unjuran itu adalah selepas sektor pembuatan dijangka kekal di bawah tekanan dalam tempoh terdekat didorong Indeks pengurus pembelian (PMI) yang terus mencatatkan penguncupan.
"Kami melihat keadaan bertambah baik pada 2024 dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melihat pemulihan dalam eksport global dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meningkatkan unjuran KDNK untuk China kepada 4.6% pada 2024.
"Bagaimanapun, peningkatan risiko geopolitik, tempoh kadar faedah tinggi yang berpanjangan dan ketidakpastian mengenai pasaran hartanah China adalah faktor risiko utama yang boleh menjejaskan prospek ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu,Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia mencatatkan penguncupan marginal 0.5% pada September 2023 selepas mencatat pertumbuhan negatif 0.3% pada bulan sebelumnya.
Pengeluaran sektor perlombongan merosot 5.2% pada September 2023 berbanding positif 0.1% yang direkodkan pada Ogos 2023, dipengaruhi pengeluaran gas asli yang kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan 7.8% berbanding kenaikan 2.6% pada Ogos 2023.
BACA JUGA: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia susut 0.5% pada September 2023 – DOSM
Segmen pembuatan mencatatkan peningkatan 0.4% pada September 2023 selepas menguncup dalam tiga bulan sebelumnya dan peningkatan itu sebahagian besarnya didorong oleh industri berorientasikan domestik yang mencatatkan keuntungan 5.9%.
Industri berorientasikan eksport dengan kira-kira 46% wajaran dalam indeks merekodkan pertumbuhan negatif untuk bulan keempat, mencatatkan penguncupan 2% pada September 2023.
Antara segmen yang menyumbang kepada penguncupan adalah pembuatan kok & produk petroleum ditapis (-7.7%) dan pembuatan tekstil (-6.8%).
Penurunan dalam industri berorientasikan eksport adalah replikasi prestasi perdagangan luar Malaysia di mana penghantaran luar negara telah menguncup selama tujuh bulan sejak Mac 2023 walaupun mencatatkan peningkatan pada September dengan penurunan yang lebih kecil sebanyak 13.7%. - DagangNews.com