KUALA LUMPUR 7 Jun - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) di Malaysia sebanyak RM3,500 untuk satu tan bagi pengeluar kecil dan RM3,000 bagi setiap tan untuk pengeluar besar pada separuh kedua tahun ini.
Firma itu berkata, unjuran harga itu juga adalah selepas mengambil kira harga MSM Indonesia selepas memberi diskaun antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap tan.
Katanya, harga MSM dijangka dihadkan oleh peningkatan pengeluaran jagung dan kacang soya di Amerika Syarikat dan Brazil.
"Bagi jangka pendek, inventori sawit di Malaysia juga dijangka meningkat apabila industri memasuki tempoh pengeluaran puncak pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, walaupun jumlah pengeluaran yang lebih tinggi namun kos pengeluaran MSM bagi setiap tan meningkat pada separuh pertama tahun ini disebabkan kos baja dan gaji yang lebih tinggi.
Katanya, walaupun harga baja mencatatkan penurunan lebih daripada 30% sejak separuh kedua 2022, firma itu percaya bahawa faedahnya hanya akan dirasai pada separuh kedua 2023.
"Kos baja lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun lalu kerana syarikat memperoleh bekalan yang lebih murah pada akhir 2021.
"Kos gaji meningkat disebabkan bilangan pekerja yang lebih tinggi dan kenaikan gaji minimum di Malaysia pada Mei 2022," katanya.
Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com