KUALA LUMPUR 30 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan untung bersih TSH Resources Berhad bagi FY23 meningkat 47% selepas mengambil kira perbelanjaan yang lebih rendah dan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sawit yang lebih kukuh sebanyak 15% berbanding 10%.
Firma itu berkata, kos pengeluaran kumpulan itu dijangka menurun pada FY23 disebabkan kos baja yang lebih rendah selepas ia dilihat akan mencatatkan penurunan sebanyak 15% hingga 20% pada 1HFY23.
"Bagaimanapun, berdasarkan asas setiap tan, kami menganggap bahawa kos pengeluaran kumpulan akan mendatar pada FY23 kerana pengeluaran BTS (buah tandan segar) dijangka menurun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pengeluaran BTS kumpulan dijangka menguncup sebanyak 6% hingga 7% pada FY23 disebabkan oleh pelupusan ladang kelapa sawit di Sabah dan Kalimantan, yang berlaku pada FY22.
Katanya, kos pengeluaran bekas kilang kumpulan itu di Indonesia tidak akan berubah pada RM2,000 setiap tan pada FY23.
"Pengeluaran BTS kumpulan tidak berubah pada FY22 (FY21: 1.4%), walaupun cuaca basah di Indonesia pada 4QFY22, kumpulan itu masih dapat menuai dan memindahkan buan itu.
"Di Sabah, kumpulan itu tidak menghadapi kekurangan tenaga kerja kerana ladang kelapa sawitnya kecil iaitu seluas 3,000 hektar," katanya.
Firma itu mengunjurkan, perbelanjaan modal kumpulan itu tidak akan berubah iaitu pada kadar RM40 juta pada FY23 dengan sebahagian besar modal akan digunakan untuk tanaman baharu, penanam semula pokok sawit tua dan manik taraf perumahan pekerja.
"Kedudukan tunai bersih kumpulan itu dijangka berad apada paras RM116 juta pada FY23 disebabkan aliran tunai RM300 juta daripada pelupusan baki tanah seluas 3,800 hektar di Indonesia," katanya.
Firma itu menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga wajar (FV) RM1.24 sesaham. - DagangNews.com