Artroniq, Beno jalin kerjasama keluarkan e-basikal siri Reevo di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Artroniq, Beno jalin kerjasama keluarkan e-basikal siri Reevo di Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Artroniq Berhad hari ini menjalinkan kerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat (AS), Beno Inc. bagi mengeluarkan produk basikal elektrik (e-basikal) siri Reevo di Malaysia. 

 

Artroniq akan bekerjasama dengan firma AS itu membabitkan perkongsian teknologi dan kepakaran untuk meneroka sektor EV menyeluruh bermula dengan e-basikal.

 

"Perjanjian berkenaan dijangka membabitkan nilai melebihi RM100 juta menjelang 2025 dan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

 

"Dalam skop perjanjian itu, lebih 95% e-basikal yang dihasilkan akan dieksport ke AS dan Eropah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

 

Perjanjian berkenaan menandakan permulaan perkongsian yang akan memberi manfaat kepada Artroniq dan Beno.

 

Di bawah syarat perjanjian Beno akan memberikan hak pemasangan penuh bagi rangkaian produk Reevo sedia ada dan akan dilancarkan kepada Artroniq untuk tempoh dua tahun.

 

Artroniq berkata, terdapat peluang besar dalam pasaran e-basikal, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.5% dalam tempoh tujuh tahun akan datang, dan akan mencecah AS$40 bilion (RM174.79 bilion) menjelang 2030.

 

"Kami percaya bahawa perkongsian ini bukan sahaja akan memberi manfaat bersama tetapi juga akan memberikan nilai yang signifikan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com